Wednesday, February 3, 2010

Tangguhkan kes : Hujah Karpal dipatahkan Peguamcara Negara

KUALA LUMPUR : Karpal Singh sewaktu berhujah petang semalam berkata kes ini perlu ditangguhkan kerana laporan doktor dari Hospital Pusrawi mengesahkan tidak ada penetration (zakar tidak masuk ke dubur Saiful.

Manakala Peguamcara Negara Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden berkata pihaknya mempunyai bukti yang kukuh dalam bentuk spesimen air mani bagi mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim memang meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

“Pihak pendakwa akan membuktikan kes ini melalui laporan kimia yang menunjukkan air mani diperolehi daripada mangsa,” kata Mohd Yusof yang mengetuai pasukan pendakwa raya dalam perbicaraan yang secara rasmi bermula esok.

“Terdapat spesimen yang dikeluarkan dari dubur mangsa. Ini akan membuktikan tembusan memang berlaku,” katanya.

“Apa yang dimiliki oleh pasukan pembela adalah hanya laporan awal daripada doktor yang merawat Mohd Saiful tetapi ia tidak termasuk laporan kimia berhubung spesimen air mani,” tambahnya.

Mohd Yusof berkata perkara berkenaan akan dibuktikan ketika perbicaraan apabila doktor dan ahli kimia memberi keterangan.

Mereka akan menunjukkan bagaimana tembusan tehadap mangsa dilakukan.

Kedua-dua pihak pendakwa dan peguambela berhujah di depan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah petang semalam.

Hakim berkata tidak wujud keadaan yang istimewa dalam prosiding undang-undang untuk membenarkan Anwar menangguhkan lagi perbicaraan.

Karpal Singh berhujah, mereka perlu diberi peluang untuk menemui Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff pada sebelah pagi untuk mendapatkan tarikh awal permohonan Anwar bagi menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan pada Jumaat lepas yang menolak permohonan Anwar untuk mendapatkan dokumen tertentu daripada pihak pendakwaan.

Karpal mendakwa laporan perubatan yang dimilikinya tidak menyebut bahawa plastik dimasukkan ke dalam dubur Saiful.

Peguam yang mewakili Anwar itu berkata kedua-dua pihak pembelaan dan pendakwaan bersetuju menemui Hakim Alauddin untuk mendapatkan tarikh sebelum perbicaraan kes liwat itu.

Hakim Mohamad Zabidin berkata memandangkan kedua-dua pihak bersetuju dengan perkara itu, beliau tidak mempunyai pilihan selain menetapkan prosiding pada petang esok, jam 2.30 petang kerana beliau tidak mahu lagi menangguhkan perbicaraan itu.

Ketika ditanya mengapa pihak pendakwaan bersetuju dengan permohonan pihak pembelaan bagi menangguhkan perbicaraan sementara menunggu pertemuan dengan Hakim Alauddin, Peguam Cara Negara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden memberitahu media ia bertujuan mempercepatkan perbicaraan dan pihak pendakwaan tidak mahu perbicaraan itu terganggu dengan permohonan Anwar bagi semakan.