Saturday, February 13, 2010

Keputusan Rayuan Anwar Batal Tuduhan Liwat Diketahui 17 Februari

PUTRAJAYA, 12 Feb - Mahkamah Rayuan hari ini menetapkan Rabu depan (17 Feb) bagi memutuskan sama ada mengekal atau menggugurkan tuduhan liwat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Keputusan itu dibuat ekoran daripada rayuan dari pihak Anwar yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan Anwar untuk menggugurkan pertuduhan meliwat terhadapnya hanya berdasarkan laporan perubatan yang menyatakan ketiadaan penetrasi.

Pada 1 Disember tahun lalu, hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menolak permohonan Anwar itu, dengan menyatakan laporan perubatan tidak boleh dijadikan asas untuk mahkamah menggunakan kuasa untuk membatalkan pertuduhan kerana laporan-laporan tersebut terhad kepada pemerhatian dan pemeriksaan fizikal dan tidak konklusif sedangkan kes pendakwaan lebih berlandaskan kepada keterangan lisan, keterangan forensik dan keterangan lain. Klik di sini

Mahkamah Rayuan yang bersidang hari ini mengambil keputusan menangguh keputusan sama ada membenarkan rayuan Anwar itu atau mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi kerana memerlukan masa untuk mempertimbangkan hujahan yang dikemukakan oleh peguam Anwar, Karpal Singh dan Peguam Cara Negara II Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden.

Panel Hakim Mahkamah Rayuan yang bersidang hari ini diketuai Hakim Datuk Wira Abu Samah Nordin, Datuk Sulaiman Daud dan Datuk Azhar @ Izhar Ma'ah

Pada prosiding selama dua jam hari ini, Karpal mengemukakan bahawa tuduhan meliwat itu harus digugurkan berdasarkan laporan perubatan oleh tiga doktor dari Hospital Kuala Lumpur yang menyatakan tidak ada hasil klinikal menunjukkan berlaku penetrasi atau tembusan ke dubur Saiful.

Katanya bukti penetrasi merupakan elemen penting untuk pihak pendakwaan membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah dan namum tidak ada bukti kukuh.

"Laporan perubatan itu merupakan bukti. Eksibit dalam afidavit juga merupakan bukti. Ianya laporan penuh. Ia merupakan kesimpulan yang dibuat oleh tiga doktor bahawa tiada penetrasi. Mahkamah ini harus membenarkan rayuan ini," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Yusof berhujah permohonan Anwar itu tidak boleh dipertahankan kerana laporan perubatan tidak boleh dijadikan satu-satunya bahan untuk dijadikan pegangan.

"Laporan perubatan tidak lengkap sehingga doktor dan ahli kimia memberi keterangan dalam perbicaraan. Laporan perubatan bukan keterangan substantif. Ia hanya sokongan kepada doktor untuk menjelaskan di mahkamah," katanya.

''Anwar mahupun peguamnya tidak berhak mempertikaikan sama ada wujud kemasukan atau tidak kerana ia akan dijelaskan dengan lebih terperinci oleh pakar yang menyediakan laporan itu,'' ujar beliau.

Dengan itu, Mohd. Yusof menghujahkan tiada berlaku penyalahgunaan proses mahkamah dan memohon agar pertuduhan terhadap Anwar dikekalkan manakala perbicaraan diteruskan.

Anwar, 63, sebelum ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan meliwat Mohd Saiful, 24, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di sini, di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat dan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu, dituduh mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan disebat jika disabit kesalahan.

Perbicaraan tersebut ditangguhkan sementara menunggu keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah pada Khamis depan sama ada beliau akan menarik diri daripada terus mendengar kes liwat itu.