Thursday, February 11, 2010

Kes rasuah Anwar yang belum dibicarakan

KUALA LUMPUR - Satu kes rasuah melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang masih belum dibicarakan hingga ke hari ini adalah tuduhan merasuah bekas Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), Datuk Shafee Yahya untuk melindungi bekas Setiausaha sulitnya, Mohamad Azmin Ali daripada disiasat lanjut berkaitan dengan isu menerima suapan rasuah.

Kes ini pernah dikemukakan oleh Datuk Abdul Gani Patail ketika itu berjawatan Timbalan Pendakwa Raya di Mahkamah Seksyen, Kuala Lumpur pada 29 September 1998. Abdul Ghani juga mengemukakan perakuan Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah mengikut Seksyen 418A (1) Kanun Prosedur Jenayah supaya perbicaraan terhadap Anwar dijalankan di Mahkamah Tinggi.

Kes ini dibuat serentak dengan tuduhan rasuah kedua yang telah dilakukan oleh Anwar antara 12 dan 18 Ogos 1997 dan juga pada 27 Ogos 1997.

Dalam tuduhan kedua ini, Anwar didakwa mengarahkan pengarah Cawangan Khas, Datuk Mohd. Said Awang dan Timbalan Pengarah Cawangan Khas II Polis, Amir Junus memperolehi pengakuan bertulis daripada bekas pemandunya, Azizan Abu Bakar dan Ummi Hafilda Ali bagi menafikan salah laku seks dan liwat yang dilakukannya dengan tujuan melindungi dirinya daripada sebarang tindakan atau prosiding bersifat jenayah.

Dan akibatnya, Azizan dan Ummi Hafilda telah memberi pengakuan bertulis masing-masing pada 18 Ogos 1997 kepada Perdana Menteri sepertimana yang diarahkan.

Anwar juga dituduh mengarahkan kedua-dua pegawai kanan polis itu supaya menggesa Azizan dan Ummi Hafilda memberi kenyataan umum bertulis bagi menafikan perbuatan yang sama.Klik di sini

Selepas 77 hari mendengar keterangan para saksi dan hujah pendakwaraya dan penguam bela untuk kes tuduhan rasuah kedua itu, Hakim Datuk S. Augustine pada 14 April 1999 telah menjatuhkan hukuman bersalah ke atas Anwar dan dihukum penjara enam tahun.

Namun untuk kes rasuah pertama masih menjadi misteri hingga ke hari ini, adakah masih dalam proses mahkamah atau telah digugurkan.

Dalam tuduahan rasuah pertama, Anwar didakwa telah menggunakan kuasanya sebagai Menteri Kewangan merasuah Datuk Shafee Yahya di pejabat Menteri Kewangan, Kementerian Kewangan, Jalan Duta, Kuala Lumpur pada jam 5.30 petang, pada 24 Mei 1995.

Tuduhan itu berbunyi :

Bahawa kamu pada 24 Mei 1995 lebih kurang jam 5.30 petang, di Pejabat Menteri Kewangan, di Kementerian Kewangan Jalan Duta, Kuala Lumpur di dalam Wilayah Persekutuan, semasa menjadi seorang anggota pentadbiran, iaitu menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan telah melakukan perbuatan rasuah berkaitan dengan siasatan Badan Pencegah Rasuah ke atas Setiausaha Sulit kamu, Mohd Azmin Ali, yang disyaki menerima rasuah sehingga dia telah mengumpulkan harta yang tidak munasabah berbanding dengan pendapatannya, iaitu kamu telah:

a) campur tangan dalam siasatan itu, dan

b) mempengaruhi Datuk Shafee Yahya, Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah untuk menutup siasatan kes itu bertentangan dengan prosedur siasatan Badan Pencegah Rasuah tanpa merujuk kepada Pendakwa Raya;

Ekoran perbuatan Anwar, Azmin dikatakan telah dilindungi daripada tindakan atau prosiding yang bersifat jenayah.

Maksudnya, Anwar telah didakwa menggunakan kuasanya sebagai anggota kerajaan menjawat jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan mempengaruhi Ketua Pengarah BPR, Datuk Shafee Yahya untuk memberhentikan siasatan lanjut ke atas setiausaha sulitnya, Azmin Ali daripada disiasat lanjut tuduhan yang mengatakan beliau menerima rasuah sehingga mengumpulkan harta yang tidak munasabah berbanding dengan pendapatannya.

Mengikut Seksyen 2 (1) Ordinan No.22 (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat, 1970, seseorang yang disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 14 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya.

Datuk Shafee Yahya disebut-sebut sebagai kroni Anwar yang dilantik sebagai Ketua Pengarah BPR menggunakan kuasa Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Manakala Azmin Ali pula merupakan bekas Setiausaha Sulit Anwar semasa Anwar menjawat jawata TPM dan Menteri Kewangan.

Baru-baru ini, isu rasuah Azmin Ali sekali lagi dibangkitkan apabila SA Vigneswaran, Pengerusi Yayasan Belia India Malaysia pada November 2009 mengemukakan dokumen-dokumen pemilikan saham dan wang Azmi Ali bersama isterinya, Shamshida Taharin yang didakwa bernilai RM8 juta.Klik di sini

Seminggu kemudian, bekas setiausaha Anwar, Anuar Shaari telah menyerahkan kesemua dokumen berkaitan dengan pemerolehan wang dan saham Azmi Ali dan Shamshida Taharin kepada pihak polis dan SPRM.

Anuar juga menamakan beberapa individu yang didakwa terlibat dalam pemilikan saham itu termasuk Anwar, kerana dokumen-dokumen bertarikh 1992 hingga 1994 tersebut berlaku ketika Ketua Pembangkang itu memegang portfolio Menteri Kewangan.

Kes ini masih dalam siasatan SPRM dan belum diketahui status hingga ke hari ini.