KUALA LUMPUR : Babak-babak drama penangguhan Datuk Seri Anwar Ibrahim berakhir petang tadi apabila Hakim Mahkamah Tinggi,Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah memutuskan untuk mendengar keterangan pihak pendakwa mulai petang esok, jam 2.30 petang.
Sepatutnya perbicaraan bermula pagi esok, tetapi pihak peguam bela Anwar memohon izin pihak mahkamah ditunda ke sebelah petang kerana pada sebelah pagi, peguam Anwar akan bertemu dengan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alaudin Mohd Sherif bagi menetapkan tarikh pendengaran permohonan semakan di Mahkamah Persekutuan.
Permohonan semakan itu adalah untuk menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan Jumaat lalu yang menolak permohonan Anwar mendapatkan dokumen dan material penting termasuk sampel DNA Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Sebelum ini, permohonan Anwar untuk memohon dokumen telah ditolak oleh dua mahkamah iaitu Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.
Pagi tadi, sebaik sahaja memasuki kamar perbicaraan, Karpal Singh memohon untuk menangguhkan prosiding dengan alasan beliau ingin menemui Ketua Hakim Negara Tun Zaki Azmi berhubung semakan semula keputusan Mahkamah Persekutuan Jumaat lalu yang menolak permohonan Anwar itu.
Malaysiakini melaporkan Karpal Singh memohon untuk penangguhan itu kerana beliau telah temujanji dengan Ketua Hakim Negara Tun Zaki Azmi. Tetapi dakwaan itu tidak benar, apabila salah seorang peguam Anwar, Sankara Nair memberitahu media pada sebelah petangnya, bahawa mereka gagal menemui Ketua Hakim Negara itu.
Sankara mendakwa Tun Zaki telah mengeluarkan arahan kepada Tan Sri Allaudin untuk mengadakan satu pertemuan pagi esok di Putrajaya bagi membincangkan penetapan tarikh untuk permohonan semakan tersebut.
Pada sebelah petang tadi, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini sekali lagi menolak permohonan Anwar bagi mendapatkan penangguhan kes liwatnya setelah mendengar hujah kedua-dua pihak.
Hakim Datuk Mohd Zabidin berkata tiada alasan lagi kes ini mahu ditangguhkan setelah kes ini sering ditangguhkan berkali-kali.
Mohd. Saiful Azlan Bukhari, saksi utama kes tersebut turut menyatakan kegembiraan kerana akhirnya dapat memberi keterangan di mahkamah bermula dari petang esok.
Sebelum ini Saiful menulis di blognya, beliau hanya meminta satu peluang untuk menyatakan kebenarannya di mahkamah. Beliau berharap agar keadilan diberikan kepadanya dan haknya tidak dinafikan.