Thursday, February 11, 2010

Anak Raja Petra, Malaysia-today telan pisau cukur

KUALA LUMPUR: Raja Azman Raja Petra, anak lelaki kepada Editor Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamarudin, yang baru-baru ini dipenjarakan kerana mencuri, dimasukkan ke hospital selepas dipercayai menelan sebilah pisau cukur.

Ketua Polis Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, Raja Azman, 34, dijumpai dalam keadaan lemah dalam sel penjaranya, mempunyai kesan kelar di pergelangan tangan, dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh.

Raja Azman, anak kedua Raja Petra, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur tahun lepas terhadap empat tuduhan mencuri dan memiliki harta curi.

Dia dituduh mencuri sebuah telefon bimbit Nokia, sebuah jam tangan Seiko, dan sejambak kunci motosikal, kesemuanya bernilai kira-kira RM3,850, kepunyaan seorang pelajar, Saipul Adli Mohamad Yunus, 21, di No 16, Jalan Sastera, U2/1K, Seksyen U2, Shah Alam, kira-kira pukul 10 pagi pada 24 April.

Dia juga dituduh mencuri sebuah motosikal Yamaha 135 LC bernilai kira-kira RM6,000 daripada seorang pelajar, Ahmad Firdaus Jalaludin, 23, di tempat dan masa yang sama.


Raja Petra Kamaruddin, penulis blog terkenal Malaysia-today berkata anaknya Raja Azman telah dihalau dari rumah kira-kira 20 tahun yang lalu dan hidup bersendirian sejak dibuang daripada keluarga.

Raja Azman, kini 34 tahun, meninggalkan keluarga sejak di sekolah menengah dan sejak itu, "sering dirundung masalah akibat hidup bergelendangan di lorong-lorong belakang Kuala Lumpur.," kata Raja Petra.

"Tidak dapat dielakkan lagi, hidup merempat di jalanan seperti budak nakal menjadikannya seperti sekarang," katanya lagi.

"Anak kami telah diberikan amaran, jika dia terjerumus dalam masalah, itu terserah pada dirinya sendiri. Dia tidak boleh mengharapkan keluarga yang ditinggalkannya membela nasibnya."

Raja Azman - ditangkap pada 6 Mei - mengaku bersalah memecah masuk ke dalam rumah, mencuri wang, telefon bimbit, jam tangan dan sebuah motosikal antara 20 Mac hingga 5 Mei dua tahun lalu.

Beliau dilaporkan dibenarkan ikat jamin RM10,500 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan tersebut - tetapi tiada siapa datang menjaminnya.

Kata Raja Petra, lebih baik mempertahankan prinsipnya seperti disuarakan dalam artikel-artikelnya di Malaysia Today daripada merasuah polis untuk membebaskan Raja Azman.

"Sebagai seorang bapa, itulah keputusan paling berat yang saya terpaksa ambil. Ia lebih sukar bagi Marina (Chin Abdullah), ibu yang melahirkannya.

"Kami saling berpegangan tangan dan menatap mata satu sama lain tanpa sepatah kata. Kata-kata tidak diperlukan lagi. Dalam kebisuan itu, hanya hati-hati kami yang berbicara," coretnya dalam artikel terbaru 'My most sincere apology to the nation' di Malaysia-today sebaik sahaja terbongkar kisah anaknya ditahan polis.