KUALA LUMPUR - Buat pertama kali dalam sejarah perbicaraan di Malaysia, pihak peguam bela memohon kepada mahkamah untuk pembicaraan tertutup, sedangkan sebelum ini hanya pihak pendakwa membuat permohonan sedemikian sebagai melindungi saksinya.
Rekod itu telah dicipta di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur hari ini, apabila Karpal Singh peguam bela mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon kepada mahkamah agar perbicaraan esok dibuat secara tertutup dan tidak dihadiri oleh para wartawan.
Hakim Mohamad Zabidin Mohd Diah bersetuju dengan permohonan peguam Anwar itu.
Karpal Singh memohon kepada mahkamah selepas Mohd Saiful Bukhari menerangkan secara panjang lebar berkenaan dengan kejadian pada 26 Jun 2008, antara 3.01 petang dan 4.30 petang di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara itu.
Ketika pemeriksaan utama oleh Peguam Cara Negara II Datuk Mohd Yusof Zainal Abidin,petang semalam, Mohd Saiful berkata Anwar telah bertanya kepadanya satu soalan berbunyi "Can I f**k you today?" selepas beliau menyerahkan dokumen di Kondominium Desa Damansara itu.
Saiful menolak pelawaan Anwar itu dan menggambarkan perasaannya ketika itu marah dan takut. Selepas Anwar mendengar Saiful menolak permintaannya, Anwar dengan nada marah mengarahnya memasuki bilik tidur utama.
Mohd Saiful berkata beliau kemudian mengikut arahan Anwar dan Anwar selepas itu menutup langsir dan lampu bilik.
Beliau berkata Anwar seterusnya meminta beliau untuk membersihkan dirinya di bilik air dengan memakai tuala.
Ketika keluar dari bilik air Saiful nampak Anwar, memakai tuala putih sambil berdiri di hujung penjuru katil. Anwar mengarahkan Saiful menghampirinya dan selepas itu Anwar memeluknya sambil berdiri.
Sebaik sahaja mendengar keterangan saksi utama itu, Karpal Singh memohon kepada mahkamah agar perbicaraan selanjutnya dibuat secara tertutup tanpa kehadiran wartawan.
Ada di kalangan hadirin yang berada di mahkamah itu petang tadi berbisik-bisik bertanyakan mengapakah peguam Anwar memohon dibicarakan secara tertutup, apa yang cuba disorokkan kepada umum. Sepatutnya pasukan pendakwa yang memohon diadakan perbicaraan secara tertutup dan bukannya pihak Anwar.