KUALA LUMPUR - Mohamad Ezam Mohd Nor, bekas Ketua Angkatan Muda PKR menafikan pernah berjumpa George Soros, seperti yang didakwa oleh Raja Petra Kamaruddin dalam lamannya Malaysia-Today sebelum ini.
Dalam kolumnya, The Corridors of Power, Raja Petra mendakwa Ezam Mohd Nor dan Anuar Shaari, serta dua orang lain pada tahun 2003, telah pergi ke Amerika Syarikat menemui Soros untuk mengutip wang atas nama Free Anwar Campaign (FAC).
Raja Petra mendakwa beliau dihubungi oleh seorang pegawai dari Amerika Syarikat bertanyakan kepadanya benarkah PKR kekurangan wang, dan jika wang disalurkan PKR berpeluang besar memenangi Pilihan Raya Umum 2004. Raja Petra mengiakan dan pegawai dari Amerika Syarikat itu berjanji akan menyalurkan sepuluh hingga dua puluh juta kepada PKR bagi membantu PKR memenangi pilihan raya umum tersebut.
Raja Petra mendakwa lagi, dana pilihan raya sebanyak puluhan juta itu telah disalurkan ke Hong Kong untuk disalurkan ke Malaysia, tetapi hingga sekarang dana itu lesap tanpa diketahui siapakah yang mengambilnya.
Ezam Mohd Nor dalam emailnya kepada AIDC hari ini menafikan dakwaan Raja Petra itu.
"Saya sebenarnya tidak mahu melayan dakwaan karut Raja Petra ini, sebab dakwaan itu hanya rekaan dari seorang pengecut yang cabut lari keluar negara", jawab Ezam dalam emailnya.
"Tetapi kerana dakwaan itu melampau, saya terpaksa memberi penjelasan. Tuduhan itu tidak benar. Saya tidak pernah berjumpa dengan Soros sepanjang hidup saya ataupun wakil Soros ataupun organisasi Soros Open Society.Kalau saya berbohong walaupun satu perkataan pun dari kenyataan di atas maka haram setiap amal baik saya didunia ini dan halal api neraka ke atas saya", tegas Ezam lagi.
Menurut Ezam, Raja Petra sebenarnya keliru dengan dua penerbangan ke Amerika Syarikat. Penerbangan pertama diikuti oleh empat individu iaitu Ezam, Anuar Shaari, Azmin Ali dan Adlin (bekas Setiausaha Akhbar Anwar), mereka berjumpa wakil-wakil senat Amerika Syarikat di Capitol Hill atas undangan Ambasador Roland , duta Cambodia di New York.
Menurut Ezam lagi penerabangan mereka ke Amerika Syarikat tiada kena mengena dengan Soros, tetapi penerbangan lain yang tidak diikutinya sebenarnya berkaitan dengan Soros.
Menurut Ezam, penerbangan kedua yang diketuai oleh Wan Azizah Wan Ismail, bersama Azmin Ali dan Khalid Jaafar telah menemui Soros di Amerika Syarikat untuk meminta dana pilihan raya PKR. Pertemuan aktivis PKR itu dengan Soros telah diatur oleh Elizaberth Wong, seorang aktivis NGO yang mempunyai rangkaian dengan penyangak mata wang antarabangsa itu.
Sebenarnya jawapan Ezam konsisten dengan pendedahan yang dilakukan oleh Lokman Noor Adam sekitar Februari 2004.
Lokman, bekas Penolong Setiausaha Pemuda Keadilan telah mengadakan bersumpah di Masjid Negara sambil menjunjung Al Quran menegaskan bahawa PKR menerima dana dari Yahudi iaitu George Soros.
Menurut pendedahan Lokman, beliau mendakwa Tian Chua dan wakilnya Elizaberth Wong yang mengatur pertemuan Azmin Ali, Khalid Jaafar dan Wan Azizah dengan Soros.
"Pertemuan ini tidak dilaporkan kepada mesyuarat Majlis Tertinggi Keadilan, tetapi kita tahu kemudian apabila berlaku kekecohan di antara wakil Tian Chua (Elizaberth Wong) dengan Azmin Ali", kata Lokman.
" Azmin tak bagi wakil Tian Chua masuk jumpa Soros, kerana Azmin nak minta duit lebih dan tidak mahu saksi (Elizabeth Wong) nampak. Kes ini kecoh dan disampaikan kepada inner circle Pemuda Keadilan. Itu yang diberitahu oleh Ezam kepada saya, Hamdan Taha dan Zahidd Mat Arip", kata Lokman lagi.
Isu PKR menerima dana dari Soros ini menjadi topik hangat dalam pilihanraya 2004 dan sehingga ke hari ini PKR tidak pernah menafikan isu tersebut.
Isu ini kembali hangat bulan lepas, apabila Raja Petra menuduh pula Ezam dan Anuar Shaari pula menerima dana Soros dan dinafikan oleh Ezam hari ini dengan mendakwa individu yang terbabit dengan penerimaan dana Soros itu adalah Wan Azizah, Azmin Ali dan Khalid Jaafar.