Thursday, February 18, 2010

Karpal Singh mahu merayu lagi keputusan Mahkamah Rayuan

KUALA LUMPUR - Karpal Singh memberitahu mahkamah beliau tidak bersedia untuk menyoal balas saksi utama, Mohd Saiful Bukhari Azlan kerana berhasrat untuk merayu lagi ke Mahkamah Persekutuan berkenaan keputusan Mahkamah Rayuan semalam.

Semalam, Mahkamah Rayuan memutuskan sebulat suara daripada tiga panel hakim diketuai Datuk Wira Abu Samah Nordin, yang bersidang bersama Datuk Sulaiman Daud dan Datuk Azhar @ Izhar Ma'ah menolak permohonan Anwar untuk menggugurkan kes liwat.



Mahkamah Rayuan mendapati pertuduhan itu adalah lengkap, tidak berniat jahat dan bukan penyalahgunaan proses mahkamah.

Mahkamah Rayuan juga turut menolak permohonan lisan Anwar untuk penangguhan perbicaraan sementara menunggu penyelesaian rayuan keputusan di Mahkamah Persekutuan. Mahkamah memutuskan peguam Anwar sepatutnya membuat permohonan rasmi dan bukannya permohonan lisan.

Peguam Anwar, Karpal Singh, berkata notis rayuan kepada Mahkamah Persekutuan secara rasmi untuk permohonan penangguhan kes hari ini.

Karpal juga memberitahu mahkamah, keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin yang menolak permohonan Anwar untuk menarik diri daripada menghakimi kes hari ini juga akan dibuat rayuan.

Peguam Anwar itu juga turut membangkitkan dua unsur campur tangan dalam kes ini, termasuk yang melibatkan pemimpin tertinggi kerajaan.

Dakwanya terdapat elemen kurang sihat yang berlaku dan boleh memberikan imej buruk terhadap perjalanan kes ini terutamanya demonstrasi di hadapan Suruhanjaya Tinggi Australia di Kuala Lumpur oleh sekumpulan penyokong BN dan UMNO semalam.

Mahkamah Tinggi menangguhkan perbicaraan kepada 25 Mac untuk memberi peluang kepada Anwar membuat rayuan tersebut.