KUALA LUMPUR - Seperti yang diramalkan perbicaraan yang sepatutnya dijalankan pagi ini terpaksa ditunda hingga jam 2.30 petang ini. Penundaan diputuskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah setelah dipohon oleh peguam Anwar, Karpal Singh.
Sebaik sahaja memasuki kamar perbicaraan, Karpal Singh memohon untuk menangguhkan prosiding pagi dengan alasan beliau ingin menemui Ketua Hakim Negara Tun Zaki Azmi berhubung semakan semula keputusan Mahkamah Persekutuan Jumaat lalu yang menolak permohonan Anwar untuk mendapatkan dokumen berhubung kes liwatnya.
Tidak dapat dipastikan adakah pertemuan Karpal dan Ketua Hakim Negara telah dibuat temujanji sebelum ini, atau pagi ini Karpal pergi ke pejabat Ketua Hakim Negara untuk membuat temu janji.
Pada Jumaat lalu, Mahkamah Perketutuan, menolak rayuan Anwar untuk mendapatkan semua dokumen penting pendakwaan termasuk spesimen asid deoksiribonukleik (DNA) Mohd. Saiful Bukhari Azlan sebelum perbicaraan.
Keputusan dibuat oleh panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria bersama dengan Hakim Datuk Md Raus Sharif dan Hakim Datuk Abdull Hamid Embong.
Karpal Singh dalam satu kenyataan selepas mendengar keputusan Mahkamah Persekutuan memaklumkan kepada media akan memfailkan satu lagi rayuan Selasa ini (hari ini) untuk merayu lagi mendapatkan dokumen-dokumen tersebut menggunakan Kaedah 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 (permohonan semakan).
Seorang lagi penguam Anwar, Sankara Nair turut memfailkan penangguhan perbicaraan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi baru-baru ini dengan memberi alasan untuk menunggu rayuan membatalkan tuduhan liwat yang sebelum ini telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi.
Sementara itu, pasukan pendakwa sudah bersiap sedia untuk mengemukakan bukti-bukti untuk mensabitkan Anwar terbabit dalam aktiviti meliwat bekas pekerjanya, Mohd Saiful Bukhari Azlan di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di ibu negara di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.
Begitu juga dengan saksi utama, Mohd Saiful Bukhari Azlan turut menyatakan kesediaannya berkerjasama memberi keterangan bila-bila masa sahaja apabila diperintahkan mahkamah.