Thursday, February 18, 2010

Hakim Datuk Mohd Zabidin putuskan tidak undur diri

KUALA LUMPUR - Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin sekejap tadi membuat keputusan menolak permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya beliau menarik diri daripada menghakimi kes tersebut.

Beliau membuat keputusan tersebut setelah meneliti kedua-dua hujah daripada pendakwa dan peguam bela Anwar.

Menurutnya, tiada ada sebab untuk beliau menarik diri kerana jika beliau berbuat demikian bermakna beliau telah lari daripada tanggungjawab dan sumpahnya sebagai seorang hakim.

Sehubungan itu beliau memutuskan menolak permohonan Anwar agar beliau menarik diri daripada menghakimi kes liwat tersebut.

Anwar melalui pasukan pembelaannya memohon agar Mohamad Zabidin menarik diri kerana didakwa berat sebelah ekoran tidak mahu mengambil tindakan menghina mahkamah terhadap Utusan Malaysia berhubung satu laporan perbicaraan kes liwat Anwar.

Bagaimanapun Mohamad Zabidin mempertahankan keputusannya kerana laporan Utusan Malaysia tersebut tidak ada kena mengena dengan prosedur perbicaraan.

Manakala pihak pendakwaraya dalam hujahnya menolak permohonan Anwar untuk meminta Mohamad Zabidin menarik diri pula berkata, laporan Utusan Malaysia tidak menghina mahkamah kerana perkara yang dilaporkan ada disebut dalam perbicaraan mahkamah dan ia dicatat dalam rekod perbicaraan.|

Dengan keputusan Mohamad Zabidin tersebut, Anwar terus gagal dalam usahannya untuk menangguhkan perbicaraan setelah Mahkamah Rayuan menolak permohonannya untuk menggugurkan pertuduhan liwat.

Prosiding perbicaraan kes liwat Anwar dijangka akan disambung dengan sambungan pemeriksaan ke atas saksi utama, Mohd Saiful Bukhari Azlan.