KUALA LUMPUR - Sebaik sahaja, Sulaiman Abdullah menarik diri daripada menjadi ketua peguambela Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau telah melantik empat orang lagi peguam veteran iaitu Raja Aziz Addruse, Karpal Singh, Datuk Param Cumaraswamy, dan Datuk CV Prabakharan menjadikan keseluruhannya berjumlah 12 orang.
Difahamkan sebelum ini peguam Raja Aziz Addruse telah dilantik sebagai ketua pasukan penguam bela mengantikan tempat Sulaiman itu.
Tetapi apa yang berlaku pada sesi perbicaraan kelmarin dan semalam, Raja Aziz Addruse masih lagi tidak hadir ke mahkamah mewakili Anwar. Peguam yang paling berperanan dalam kedua-dua sesi itu adalah Karpal Singh.
Selain Karpal Singh, turut hadir semalam adalah Datuk Param Cumaraswamy, Datuk C.V. Prabakharan, Ram Karpal Singh Deo, S. N. Nair, Mohd Radzlan Jalaludin dan Marisa Regina Fernando.
Kemasukan nama Ram Karpal Singh Deo dan Marisa Regina Fernando adalah nama baru yang tidak tersenarai dalam barisan pasukan peguam bela Anwar sebelum ini. Ram Karpal Singh Deo adalah anak kepada Karpal Singh, manakala Marisa Regina Fernando adalah anak kepada bekas ketua peguambela kes liwat Anwar sebelas tahun dahulu iaitu Christhoper Fernando.
Setakat ini tidak dapat dipastikan siapakah ketua peguam bela Anwar, adakah Karpal Singh atau Raja Aziz Addruse.
Namun ketidakhadiran Raja Aziz Addruse ke mahkamah masih menjadi misteri hingga ke hari ini.
Selain Raja Aziz Addruse beberapa peguam bela Anwar lain juga tidak kelihatan hari ini. Mereka adalah Edmund Bon, Amer Hamzah Arshad, Leela J. Jesuthasan, Latheefa Koya, dan Saiful Izham Ramli.
Difahamkan Sivarasa Rasiah yang sebelum ini disenaraikan sebagai peguam bela Anwar hadir petang semalam, tetapi tidak berada di barisan peguam bela, sebaliknya berada dalam tempat duduk orang awam.
Tidak dapat dipastikan apakah yang sedang berlaku dalam barisan peguam bela Anwar. Adakah selepas kemasukan Karpal Singh beliau telah merombak barisan peguam junior Anwar dan memasukkan dua orang peguam senior yang lebih berpengalaman iaitu anaknya sendiri, Ram Deo dan anak Cristopher Fernando, Marisa Regina.
Sebelum ini perkara yang sama juga berlaku ke atas Sulaiman Abdullah, apabila tidak hadir berkali-kali ke mahkamah dan kes terpaksa ditangguhkan, akhirnya Anwar membuat pendedahan bahawa peguamnya telah menarik diri daripada menjadi 'ketua peguam bela' kerana sakit tenat.
Namun gambaran 'sakit tenat' yang digambarkan kepada Sulaiman itu dipertikaikan oleh ramai pihak kerana peguam itu turut didakwa masih sihat dan masih mengendalikan kes lain.