SHAH ALAM - Datuk Seri Anwar Ibrahim membayangkan tidak akan melepaskan jawatan Ketua Pembangkang di Parlimen, meskipun beliau sekarang sedang menghadapi pertuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.
Beliau membayangkan perkara tersebut ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Semarak Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) di sini, kelmarin.
Anwar juga turut menemplak Datuk Seri Dr Rais Yatim, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan yang mempersoalkan kedudukannya sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen berikutan kes liwat yang dihadapinya.
“Tugas Rais bukan tentukan jawatan politik individu lain, tetapi tugasnya jaga RTM milik Kerajaan Pusat", kata Anwar.
Menurutnya, semua pertimbangan bagi jawatan itu hanya boleh diputuskan oleh pemimpin Pakatan Rakyat (PR) dan bukannya Rais mahupun mana-mana pemimpin Barisan Nasional (BN).
Ketika dalam ucapannya, Anwar berharap perbicaraan kes liwat keduanya di mahkamah tidak 'mengganggu' tugasnya sebagai penasihat ekonomi Selangor untuk memberikan lebih perhatian terhadap negeri itu.
“Kalau saya tak diganggu di mahkamah, saya dapat lebih banyak tumpukan perhatian di Selangor kerana sekarang ini masih banyak fitnah dan khianat dilemparkan terhadap saya,” katanya.