Saturday, January 30, 2010

Sudah 20 kali kes liwat ditangguhkan - Saiful Bukhari

KUALA LUMPUR - Mohd Saiful Bukhari, saksi utama kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan sehingga kini sudah 20 kali kes tersebut ditangguhkan sejak dari hari pertama pertuduhan itu dibacakan di Mahkamah Seksyen, Kuala Lumpur, pada 7 Ogos 2008.

"Penangguhan itu dilakukan kerana permohonan-permohonan tertentu", kata Saiful di dalam blognya, www.mohdsaifulbukhari.blogspot.com.

Tulisan Saiful yang terbaru itu sebagai ulasan laporan Utusan Malaysia, 29 Januari 2010 yang menyebut peguam Anwar, SN Nair mengemukakan permohonan pada saat-saat akhir bagi menangguhkan perbicaraan kes liwatnya yang dijadualkan akan bermula Selasa ini.

Kali ini, Ketua Pembangkang itu memberi alasan Mahkamah Rayuan masih belum mendengar rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan untuk membatalkan pertuduhan liwat tersebut.

Sebelum ini Anwar mengemukakan permohonan untuk mendapat semua dokumen pihak pendakwa yang mengambil masa lebih kurang enam bulan.

Kes permohonan dokumen ini selesai pada 29 Januari lalu, apabila Mahkamah Persekutuan, yang diketuai oleh Hakim Datuk Abdull Hamid Embong dan Datuk Md Raus Sharif dan Tan Sri Ariffin Zakaria mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan menolak permohonan Anwar yang bertujuan "memancing maklumat" kepunyaan pihak pendakwaan sebelum perbicaraan bermula.

"Hanya satu permintaan saya, beri hak saya untuk beri keterangan di mahkamah", kata Saiful

"Namun begitu saya tetap bersabar dan menunggu keputusan hakim Mahkamah Tinggi pada Selasa ini sama ada terus menangguhkan atau sebaliknya", katanya lagi.