Wednesday, January 13, 2010

Rayuan Anwar dapat dokumen di Mahkamah Persekutuan, 20 Januari

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan semalam, menetapkan 20 Januari ini bagi mendengar rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendapatkan semua dokumen penting pendakwaan dan sampel Asid deoksiribonukleik (DNA) bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan bagi membantu pembelaan kes perbicaraan liwat terhadapnya yang dijadualkan pada 25 Januari di Mahkamah Tinggi.

Peguam Karpal Singh memaklumkan kepada media berhubung tarikh pendengaran rayuan itu selepas beliau menerima faksimili daripada Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan semalam.

Karpal berkata, pihaknya juga memfailkan petisyen rayuan semalam. Rayuan yang sepatutnya didengar pada 6 Januari lalu ditangguhkan kerana pihak Anwar memohon untuk meneliti rekod rayuan dan menyediakan hujah.

Karpal berkata rayuan itu amat penting dan memberi kesan kepada prosiding mahkamah di seluruh negara kerana ia membabitkan tafsiran terhadap Seksyen 51A Kanun Acara Jenayah (KAJ).

Pada 6 Nov tahun lepas, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan pendakwa tidak membekalkan dokumen kepada Anwar dengan alasan dokumen yang diminta itu tidak tertakluk di bawah Seksyen 51A CPC.

Antara dokumen yang diminta ialah kenyataan saksi yang direkodkan daripada Mohd Saiful Bukhari, Dr Osman Abdul Hamid dari Hospital Pusrawi dan tuan punya kondominium, Hassanuddin Abdul Hamid, kenyataan tiga doktor dari Hospital Kuala Lumpur, nota ahli kimia dan laporan perubatan.

Mahkamah Rayuan juga menolak rayuan balas Anwar untuk mendapatkan sampel spesimen daripada Mohd Saiful.

Bagaimana pun Anwar merayu sekali lagi memohon dokumen-dokumen itu di peringkat yang lebih tinggi iaitu Mahkamah Persekutuan.