Thursday, January 7, 2010

Krisis dalaman : Salehuddin Hashim letak jawatan Setiausaha Agung PKR

KUALA LUMPUR - Datuk Sallehuddin Hashim yang sebelum ini pernah disebut-sebut akan meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Agung PKR telah melakukan secara rasmi berkuatkuasa hari ini.

Malaysiakini dan bernama melaporkan surat peletakan jawatannya itu telah dihantar kepada Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalan Presiden, Dr Syed Husin Ali serta kepada Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pukul 5 petang tadi.

Hasrat Sallehuddin untuk meletakkan jawatan telah berlegar sejak Oktober tahun lalu kerana beliau tidak berpuas hati dengan kepincangan yang berlaku dalam pucuk kepimpinan PKR khususnya di Selangor.

Sallehuddin dikatakan telah menyuarakan ketidakpuasan hatinya terhadap cara pengurusan ekonomi, Tan Sri Khalid Ibrahim khususnya berkaitan dengan pembabitan kroni di Selangor.

Dalam e-mel yang dihantar kepada ramai ahli PKR itu, Sallehuddin membangkitkan hubungan Khalid Ibrahim dengan seorang tokoh korporat Lim Kim Hong, yang memang dikenalinya sejak zaman korporatnya, yang kini memajukan i-City di Shah Alam

Di samping itu, turut dibangkitkan soal isu pinjaman yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Selangor untuk mengambil alih hutang Talam Corp Bhd kepada anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang berjumlah RM391 juta.

Tindakan Khalid tidak disenangi kerana sebelum ini beliau pernah melakukan perkara yang sama dengan meminjam dari Bank Islam untuk membeli saham Guthrie pada tahun 2001, dan sehingga kini beliau masih terbelenggu dengan hutang berjumlah RM66.67 juta itu.

Krisis Sallehuddin dan Khalid terus memuncak, sehingga memaksa Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Penasihat Ekonomi Negeri Selangor.

Namun pelantikan Anwar gagal menyelesaikan permasalahan itu, akhirnya Sallehuddin mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan dalam parti.

Salehuddin mula menyertai PKR pada 2004 dan dilantik sebagai setiausaha pengelola sebelum dilantik menjadi setiausaha agung bagi menggantikan tempat yang pernah disandang oleh Tan Sri Khalid Ibrahim.