Sunday, January 3, 2010

Dr Pornthip bayangkan akan tarik diri kes Teoh Beng Hock ?

KUALA LUMPUR - Malik Imtiaz Sarwar, peguam yang mewakili kerajaan Selangor hari ini membayangkan bahawa pakar patologi Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand berkemungkinan akan menarik diri daripada memberi keterangan berkaitan dengan bedah siasat kedua, kematian Teoh Beng Hock.

Bercakap di pemberita di Medan Damansara, Malik Imtiaz menyifatkan laporan polis yang dibuat oleh dua pegawai SPRM semalam benar-benar memberi kesan emosi kepada pakar patologi Thailand itu.

Semalam, dua pegawai SPRM membuat laporan polis di ibu pejabat polis daerah Shah Alam terhadap akhbar tabloid "Suara Keadilan" dan Dr Pornthip berhubung satu artikel yang mendakwa pakar patalogi itu telah mengesahkan punca kematian setiausaha politik, Teoh Beng Hock, yang telah disoal siasat oleh SPRM, adalah dibunuh.

"Dr Pornthip menafikan beliau membocorkan laporan bedah siasat kedua itu kepada Suara Keadilan" kata Malik.

" Akhbar itu juga tidak menyebut sumber daripada Dr Pornthip, jadi Dr Pornthip tidak terbabit dalam pembocoran maklumat", katanya lagi.

Sementara itu, pakar forensik bebas, Profesor Dr Peter Vanezis dari United Kingdom yang dilantik oleh SPRM tidak membuat sebarang kenyataan setakat ini. Dr Vanezis merupakan pengarah bagi Cameron Centre for Forensic Medical Sciences, London, dan telah mengendalikan sebanyak 2,000 autopsi kes kematian mengejut, yang 1,500 daripadanya membabitkan homisid.

Dr Vanezis terlibat bersama-sama Dr Pornthip dalam bedah siasat kedua mencari punca kematian Teoh Beng Hock tahun lepas.