Tuesday, January 5, 2010

Permohonan Semakan Anwar mendapatkan dokumen ditolak - Mahkamah Tinggi (Rayuan)

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi (Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) hari ini menolak permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memohon semakan kehakiman terhadap satu kenyataan bertulis yang ditandatangani oleh seorang pendakwa raya untuk perbicaraan kes liwat beliau.

Pada 3 Ogos tahun lalu, Anwar telah memfailkan permohonan semakan kehakiman yang menamakan Mohamad Hanafiah, pihak pendakwaan dan kerajaan sebagai responden.

Hanafiah telah mengeluarkan satu kenyataan bertulis di bawah Seksyen 51A(1)(c) Kanun Prosedur Jenayah kepada Anwar, membayangkan bahawa tidak ada fakta yang berpihak kepada pembelaan (Anwar) pada perbicaraan liwatnya.

Kenyataan itu diserahkan kepada Anwar pada 24 Jun 2009. Kemudian, Anwar memohon satu pengisytiharan bahawa kenyataan bertulis yang ditandatangani Mohamad Hanafiah itu batal dan tidak sah.

Anwar juga memohon perintah larangan dan injunksi kepada Hanafiah dan pendakwaan untuk menghalangnya daripada proseding dan meneruskan dengan pendakwaan atau sebarang proseding lain terhadap Anwar, sehingga fakta yang berpihak kepada pembelaan dibekalkan kepada Anwar.

Beliau memohon satu perintah terhadap Hanafiah dan pendakwaan tidak mengambil semua tindakan atau sebarang proseding terhadap Anwar sehingga permohonan ini selesai.

Anwar juga memohon ganti rugi teruk dan teladan serta punitif.

Hakim Mahkamah Tinggi (Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) Datuk Aziah Ali hari ini dalam keputusannya berkata permohonan itu adalah remeh dan menyusahkan serta menyalah gunakan proses mahkamah.

Beliau menolak permohonan Anwar itu dengan kos.

Katanya beliau bersetuju dengan penghujahan Peguam Kanan Persekutuan, Datin Azizah Nawawi bahawa adalah penyalah gunaan proses untuk mendapatkan bantuan mahkamah sivil bagi semakan kenyataan bertulis itu dan untuk mengarahkan responden pertama (Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Hanafiah Zakaria) mengeluarkan satu kenyataan bertulis yang baru.

"Mahkamah sivil itu tidak ada bidang kuasa untuk semakan sebarang tindakan yang diambil Timbalan Pendakwa Raya ketika menjalankan tanggungjawabnya di bawah Kanun Prosedur Jenayah (CPC), tambah beliau.

Beliau berkata jika permohonan Anwar dibenarkan, bermakna mahkamah sivil campur tangan dengan bidang kuasa mahkamah jenayah.

Aziah dalam penghakiman 15 muka juga berkata bahawa penyelesaian boleh diperoleh di mahkamah jenayah itu semasa proses perbicaraan.

"Keputusan terakhir sama ada atau tidak terdapat fakta berpihak kepada pemohon atau sama ada dua laporan perubatan berpihak kepada pemohon akan dibuat oleh hakim yang membicarakan."

"Hak pemohon terhadap perbicaraan yang adil tidak menjejaskan kenyataan bertulis itu," tegas Aziah.

Azizah bertindak bagi pihak responden sementara peguam Edmund Bon pula mewakili Anwar.