Tuesday, January 12, 2010

Allah hak umat muslim - Dr Siddiq Fadzil



KUALA LUMPUR - Sejarah membuktikan bahawa kalimah Allah adalah hak Melayu-Muslim di negara ini kerana definisi kalimah tersebut mempunyai makna yang bersepadu dari segi tauhid, menolak syirik dan sekaligus menafikan fahaman trinity (tidak beranak dan tidak diperanakkan).

Dato' Dr Siddiq Fadzil, Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) berkata bagi umat Islam, Allah adalah segala-gala. Lafaz pertama keislaman mereka adalah kesaksian tentang hakikat ketiadaan tuhan selain Allah (Yang Maha Esa).

"Sikap berkeras pihak Kristian mahu menggunakan kalimah Allah bukan setakat menimbulkan tanda tanya, malah mengguris perasaan sebahagian besar umat Melayu-Muslim di negara ini", katanya dalam kenyataan di laman web rasmi WADAH (www.wadah.org.my).

"Sejak ratusan tahun, tanpa memakai nama Allah, para penganut Kristian dapat mengamalkan agama mereka dengan aman, jadi kenapa baru sekarang isu ini diperjuangkan secara provokatif", katanya lagi.

Dr Siddiq Fadzil yang juga merupakan bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) berharap isu ini dapat diselesaikan secara bijaksana dalam masa terdekat. Katanya lagi jika semakin lama isu ini dipolemikkan, dibimbangi ia akan menimbulkan pelbagai implikasi lain.

Menurutnya lagi isu kalimah Allah ini dibimbangi akan membangkitkan sentimen silam semasa zaman penjajahan apabila Stamford Raffles berusaha bersungguh-sungguh untuk menterjemahkan Bible ke dalam Bahasa Melayu.

Bukan setakat usaha itu gagal, tetapi umat Melayu-Islam di negara ini memandang prejudis kepada penjajah kerana menganggap usaha itu sebagai agenda Kristianisasi, malah Adullah Munsyi yang terlibat dalam penterjemahan itu turut mendapat ejekan sebagai “Abdullah Paderi”.

"Sepatutnya peristiwa silam tidak lagi berlaku dalam masyarakat hari ini dan mesti terima hakikat bahawa realiti sejarah dan budaya Malaysia memang tidak memungkinkan pemakaian kalimat Allah di luar konteks keislaman", katanya.