Wednesday, January 6, 2010

Anwar mahu tempoh sebulan untuk rayuan pohon dokumen

PUTRAJAYA, 6 Jan - Peguam Datuk Seri Anwar, Karpal Singh hari ini memberitahu mahkamah mereka harus diberikan masa yang cukup untuk menyediakan rayuan kerana mereka hanya menerima rekod rayuan dari Mahkamah Rayuan pada 30 Dis tahun lepas.

"Menurut peraturan, kami mempunyai 10 hari dari hari kami menerima rekod rayuan, bagi memfail petisyen rayuan. Kami akan fail petisyen pada Isnin ini.

"Kami juga menerima notifikasi dari mahkamah pada 29 Dis tahun lepas, yang memberitahu kami bahawa rayuan ini ditetapkan untuk pendengaran hari ini. Adalah tidak mengikut perlembagaan tarikh pendengaran ditetapkan sedangkan petisyen rayuan belum difailkan," kata beliau.

Peguam Cara Negara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden, bagaimanapun meminta mahkamah supaya menetapkan tarikh awal bagi pendengaran rayuan kerana kes itu melibatkan kepentingan awam dan perbicaraan sodomi di Mahkamah Tinggi akan bermula pada 25 Jan.

Karpal pula berhujah: "Tidak perlu tergesa-gesa. Ini rayuan penting melibatkan interpretasi seksyen 51A Kanun Prosedur Jenayah (CPC). Keputusan mahkamah ini akan mengikat dan menjejas mahkamah-mahkamah lain.

"Hanya kerana perbicaraan akan berjalan pada 25 Jan, tidak bermakna rayuan ini harus dilakukan tergesa-gesa. Kami harus diberikan masa mencukupi, sekurang-kurangnya sebulan", katanya lagi

Mahkamah Persekutuan hari ini menangguhkan rayuan Anwar untuk mendapatkan dokumen bagi perbicaraan liwatnya ke satu tarikh yang akan ditetapkan nanti bagi memberi beliau masa mencukupi untuk memfail petisyen dan membuat persiapan untuk kesnya.

Penangguhan diberikan kepada ketua pembangkang itu oleh panel hakim yang terdiri daripada Hakim Besar Malaya Tan Sri Arifin Zakaria, Hakim Datuk Md Raus Sharif dan Hakim Datuk Abdull Hamid Embung.

Anwar, 62, dituduh meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 24, di sebuah kondominium di Bukit Damansara, Kuala Lumpur pada 26 Jun, 2008.

Pada 26 Julai tahun lepas, hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah membenarkan permohonan Anwar mendesak pendakwa membekalkan beliau dokumen di bawah seksyen 51A CPC bagi membolehkan beliau membuat persiapan bagi pembelaan dirinya agar proses pendakwaan lebih terbuka dan adil.

Bagaimanapun, pada 6 Nov tahun lepas, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan pendakwa terhadap perintah Mahkamah Tinggi itu atas alasan dokumen yang diminta oleh Anwar tidak tertakluk di bawah Seksyen 51A CPC oleh kerana ada had bagi pendakwa membekal dokumen tertentu kepada tertuduh.

Antara dokumen yang diminta ialah kenyataan saksi yang direkodkan daripada Mohd Saiful Bukhari, Dr Osman Abdul Hamid dari Hospital Pusrawi dan tuan punya kondominium, Hassanuddin Abdul Hamid, kenyataan tiga doktor dari Hospital Kuala Lumpur, nota ahli kimia dan laporan perubatan.

Mahkamah Rayuan juga menolak rayuan balas Anwar untuk mendapatkan sampel spesimen daripada Mohd Saiful.