Tuesday, January 5, 2010

Dr Pornthip hanya pemerhati, bukan pelaksana bedah siasat kedua Teoh Beng Hock

KUALA LUMPUR : PKR dan organnya Suara Keadilan telah memanipulasikan Dr Pornthip Rojanasunand, pakar patologi dari Thailand dengan mengeluarkan kenyataan mendahului inkues merumuskan Teoh Beng Hock mati dibunuh.

Sumber dalaman menyebut bedah siasat kedua mencari punca kematian Teoh Beng Hock bukan dikendalikan oleh Dr Pornthip, tetapi dikendalikan oleh pakar-pakar hospital kerajaan, sebaliknya pakar patologi dari Thailand itu hanya bertindak sebagai pemerhati sahaja.

"Bagaimana Dr Pornthip boleh mengeluarkan kenyataan awal di media PKR sedangkan inkues belum lagi dijalankan", jelas sumber tersebut.

"Dr Pornthip tidak layak mengeluarkan kenyataan kerana dia tidak terlibat secara pratikal dalam bedah siasat kedua itu. Pihak yang sepatutnya mengeluarkan kenyataan adalah pakar dari hospital kerajaan" jelasnya lagi.

Dalam yang terkeliru mengenai bedah siasat kedua mendiang itu dan menyangkakan bedah siasat itu dikendalikan oleh pakar patologi dari Thailand, walhal bedah siasat kedua tetap dijalankan oleh pakar tempatan dan Dr Pornthip hanya bertindak sebagai pemerhati yang dilantik oleh kerajaan negeri Selangor.

Seorang lagi pemerhati adalah pakar forensik dari United Kingdom, Profesor Dr Peter Vanezis yang dilantik oleh pihak SPRM.

Setakat ini pakar hospital kerajaan tidak membuat apa-apa kenyataan berkenaan dengan status bedah siasat kedua Teoh Beng Hock kerana inkues belum dijalankan dan menjaga intergriti bidang kedoktoran.

Namun begitu, meskipun inkues belum dijalankan, Suara Keadilan Bil 213, 29 Disember lalu telah mengeluarkan satu kenyataan di muka hadapan mengatakan Dr Pornthip telah mengesahkan Teoh Beng Hock dibunuh.

Ekoran daripada itu dua orang pegawai SPRM, Hisyam Mohd Yusof dan Raub Ghani telah membuat laporan polis yang berasingan terhadap akhbar itu dan Dr Pornthip.

Hisyam Mohd Yusoff, dalam laporannya mendakwa akhbar PKR itu menyiarkan berita yang subjudis, melampaui kuasa inkues Teoh Beng Hock yang sedang berlangsung.

Raub Ghani pula, membuat laporan polis mengenai tindakan pakar patologi dari Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand, yang beliau syaki membocorkan maklumat mengenai laporan forensik kepada pihak yang tidak sewajarnya.

Sementara itu, Malik Imtiaz Sarwar, peguam yang mewakili kerajaan Selangor telah membayangkan bahawa pakar patologi Thailand itu berkemungkinan akan menarik diri daripada terus terlibat dengan kes tersebut serta menafikan Dr Pornthip terlibat membocorkan rahsia kepada Suara Keadilan.

Esok dijangkakan, Pengarang Suara Keadilan akan memberikan keterangan kepada pihak polis.