Wednesday, January 13, 2010

17 Feb sebutan semula permohonan qazaf ke atas Saiful

KUALA LUMPUR, 13 Jan - Mahkamah Tinggi Syariah hari ini menetapkan 17 Februari untuk sebutan semula permohonan qazaf oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Hakim Syarie Mohd Shukor Sabudin menetapkan tarikh itu selepas peguam pihak responden, Zainul Rijal Abu Bakar memberitahu mahkamah bahawa mereka akan mengemukakan bantahan awal berdasarkan tiga isu terhadap permohonan Anwar itu.

Tiga isu bantahan yang bakal dikemukakan pihak responden adalah :

Pertama : Bidang kuasa Mahkamah Syariah yang akan mendengar kes qazaf,
Kedua : Permohonan yang tidak dibuat mengikut Prosedur Akta Mal 1998,
Ketiga : Kelayakan Anggota Parlimen PKR Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Nordin, untuk mewakili Anwar kerana berlaku percanggahan kepentingan dan pelanggaran etika amalan Syariah.

Zainul Rijal memberitahu mahkamah pihaknya akan memfailkan bantahan awal tersebut sebelum tarikh sebutan yang telah ditetapkan itu.

Dalam prosiding hari ini, Zainul Rijal berkata beliau memerlukan sedikit masa untuk menjawab dan membalas afidavit Anwar yang telah difailkan sebelum ini.

Afidavit jawapan itu akan difailkan serentak bersama-sama permohonan bantahan awal tersebut, kata peguam itu.

Terdahulu peguam yang mewakili Anwar, Kamar Aniah Kamaruzaman memberitahu mahkamah bahawa Anwar tidak dapat hadir ke mahkamah pada hari ini kerana menghadiri satu persidangan di Beirut, Lubnan.

Menurut laman rasmi Anwar (anwaribrahimblog), Anwar sekarang sedang menghadiri persidangan bersama pemikir Islam anjuran Institut Antarabangsa dan Pemikiran Islam(IIIT) dari 10 -14 Januari 2010.

Pada 7 Jan lepas, Anwar yang juga Anggota Parlimen Permatang Pauh, memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Syariah bagi perintah supaya pihak pendakwaan meneruskan pertuduhan qazaf terhadap Mohd Saiful, 24.

Dalam tuntutan notis permohonan itu, Anwar, 63, menamakan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan, Shamsuddin Hussain, Pengarah Jabatan Agama Islam wilayah, Datuk Che Mat Che Ali, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral Datuk Jamil Khir Baharom sebagai responden.

Anwar memohon perintah mahkamah mengarahkan Shamsuddin menggunakan kuasanya yang sedia ada padanya untuk menjalankan prosiding pertuduhan qazaf terhadap Saiful dan menghalang Che Mat dan Jamil daripada menghalang Shamsuddin menjalankan pertuduhan itu.