Tuesday, January 12, 2010

PKR akan beri taklimat terkini kes liwat Anwar

KUALA LUMPUR - Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan memberi taklimat terkini kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim di sebuah hotel, pada 19 Januari ini. Undangan untuk menghadiri taklimat itu dihantar melalui email oleh Mustapha Kamil Ayub, Naib Presiden PKR, Isnin lalu.

Menurut email itu lagi tujuan diadakan taklimat itu untuk membolehkan para pemimpin parti dan pasukan peguambela Anwar mengemaskini maklumat-maklumat terkini berkaitan dengan kes liwat Anwar dan situasi politik negara.

Menurut keputusan Mahkamah Tinggi, perbicaraan kes liwat Anwar akan dijalankan pada 25 Januari ini, namun berdasarkan perkembangan semasa berkemungkinan besar tarikh tersebut terpaksa ditangguhkan kerana peguam Anwar membuat proses rayuan memohon dokumen di Mahkamah Persekutuan.

Pada 6 Januari lalu, Karpal Singh, peguam Anwar memohon tempoh sekurang-kurangnya sebulan untuk menyediakan hujah bagi proses rayuan tersebut.

Persoalan tarikh perbicaraan, 25 Januari dijadikan subjek utama perbahasan di antara pihak pendakwa dan penguam Anwar.

Peguam Cara Negara II, Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden, meminta mahkamah supaya menetapkan tarikh bagi pendengaran rayuan di Mahkamah Persekutuan lebih awal kerana kes itu melibatkan kepentingan awam dan perbicaraan sodomi di Mahkamah Tinggi akan bermula pada 25 Jan.

Karpal pula berhujah: "Tidak perlu tergesa-gesa. Rayuan di Mahkamah Persekutuan ini penting kerana melibatkan interpretasi seksyen 51A Kanun Prosedur Jenayah (CPC). Keputusan mahkamah ini akan mengikat dan menjejas mahkamah-mahkamah lain.

"Hanya kerana perbicaraan akan berjalan pada 25 Jan, tidak bermakna rayuan ini harus dilakukan tergesa-gesa. Kami harus diberikan masa mencukupi, sekurang-kurangnya sebulan", katanya

"Adalah tidak mengikut perlembagaan, tarikh pendengaran ditetapkan sedangkan petisyen rayuan belum kami failkan lagi," katanya lagi