Sunday, January 10, 2010

Saifuddin Nasution Dilantik Setiausaha Agung Baru PKR

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) semalam melantik Ahli Parlimen Machang sebagai Setiausaha Agung parti yang baru bagi menggantikan Datuk Salehuddin Hashim yang meletakkan jawatannya baru-baru ini.

Mesyuarat biro politik PKR malam tadi turut membuat keputusan untuk menerima notis peletakan jawatan Salehuddin.

Khamis lalu, Salehuddin telah menghantar notis peletakan jawatan dan meminta Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu menghormati keputusannya. Salehuddin memberikan notis peletakan jawatan yang berkuatkuasa pada 31 Januari ini tetapi tidak menyatakan alasan mengenai peletakan jawatan tersebut.

Hasrat Sallehuddin untuk meletakkan jawatan telah berlegar sejak Oktober tahun lalu kerana beliau tidak berpuas hati dengan kepincangan yang berlaku dalam pucuk kepimpinan PKR khususnya di Selangor.

Sallehuddin dikatakan telah menyuarakan ketidakpuasan hatinya terhadap cara pengurusan ekonomi, Tan Sri Khalid Ibrahim khususnya berkaitan dengan pembabitan kroni di Selangor.

Dalam e-mel yang dihantar kepada ramai ahli PKR itu, Sallehuddin membangkitkan hubungan Khalid Ibrahim dengan seorang tokoh korporat Lim Kim Hong, yang memang dikenalinya sejak zaman korporatnya, yang kini memajukan i-City di Shah Alam

Di samping itu, turut dibangkitkan soal isu pinjaman yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Selangor untuk mengambil alih hutang Talam Corp Bhd kepada anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang berjumlah RM391 juta.