KUALA LUMPUR - Sudah menjadi satu sindrom, apa sahaja bukti walaupun berbentuk video yang menunjukkan dirinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menafikan dan menganggap itu adalah fitnah, tetapi dalam masa yang sama Anwar juga turut menggunakan rakaman video yang merakamkan ucapan individu lain yang memuji dirinya, itu dianggap benar.
Baru-baru ini, Anwar melancarkan video rakaman ucapan Dr Yusof Al Qaradawi yang kononnya berucap menyokong dirinya, walaupun tokoh ulama itu tidak menyatakan secara jelas sokongan yang dimaksudkan oleh Anwar itu.
Walaupun Dr Yusof Al Qaradawi tidak menyentuh khusus berkenaan pertuduhan liwat, tetapi Anwar telah menambahkan penafsiran itu dengan mengaitkan pertuduhan liwat ke atas dirinya dan dalam masa sama Anwar mendakwa laporan doktor menyebelahinya, walaupun kes itu masih belum dibicarakan sepenuhnya.
Sehingga ke hari ini, para doktor dan pakar forensik belum memberi keterangan di mahkamah, tetapi Anwar sudah membuat keputusan sendiri seolah-olah kesemua pakar doktor dan forensik itu telah selesai memberi keterangan.
"Ada orang kata saya ada kepentingan (dengan CD itu), (tapi) saya rasa tidak tergugat (dengan pertuduhan itu) kerana tidak ada kes, (dan) laporan doktor menyebelahi kita," katanya.
Dalam perkembangan lain, seorang peniaga Mohd Arshad Ishak telah tampil membuat laporan polis di Bangi kelmarin meminta polis menyiasat satu video berbentuk VCD yang menunjukkan rakaman semasa Anwar menjalani hukumannya di penjara Sungai Buluh antara April dan Oktober 2001.
Video itu berjudul 'Sandiwara Anwar sebab-sebab MP PKR keluar parti, tengok sampai habis'.
Mohd Arshad, 26 yang juga mewakli Gerakan Anti Liwat atau GELI, mendakwa dia mendapat salinan VCD itu diletakkan di peti surat di rumahnya di Seksyen 3, Bandar Baru Bangi.
Anwar Ibrahim dalam responnya kepada Malaysiakini hari ini mendakwa rakaman VCD itu berbentuk fitnah, walaupun jawapannya tidak begitu menyakinkan.
"Semasa saya di mahkamah (1998) saya boleh jalan, saya boleh bangun. Di mahkamah saya tidak pernah pakai kerusi roda.
"Saya pakai kerusi roda bila jalannya jauh. Doktor melarang saya berjalan lebih daripada sepuluh tapak. Saya boleh berdiri, saya boleh berjalan. Maksimum sepuluh tapak.
"Jadi orang Umno nak buat fitnah, siapa suruh. Ada pembedahan dilakukan, cukuplah," katanya selepas menghadiri prosiding kes qazaf di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur pagi ini.