Thursday, March 25, 2010

Perbicaraan kes liwat Anwar akan bermula hari ini ?

KUALA LUMPUR 25 Mac - Hari ini adalah hari yang ditetapkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah untuk sebutan kes liwat selepas lebih sebulan tertangguh, ekoran dari pertikaian Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai status hakim berkenaan.

Pada 18 Februari lalu, Mohamad Zabidin memberi tempoh lebih sebulan untuk peguam Anwar menyelesaikan ketidakpuasan hati mereka.

Pada 11 Mac, Anwar memfailkan petisyen rayuan di pejabat pendaftar Mahkamah Persekutuan menerusi firma guaman Tetuan S.N.Nair and Partners. Mahkamah Rayuan telah telah menetapkan 19 Mac untuk mendengar rayuan itu.

Permohonan meminta hakim itu menarik diri telah difailkan oleh Anwar kerana alasan Mohamad Zabidin bertindak berat sebelah apabila enggan melayan permohonan peguam utama Anwar, Karpal Singh, untuk mengenakan tindakan menghina terhadap Utusan Malaysia berhubung dua artikel yang disiarkan akhbar itu.

Namun begitu selepas 5 hari memfailkan rayuan, Anwar kemudiannya menarik balik rayuan itu pada 16 Mac lalu, tiga hari sebelum ia dijadualkan didengar di Mahkamah Rayuan tersebut.

Dalam memberi alasan mengapa rayuan tersebut ditarik balik, Anwar memberi alasan untuk tidak mahu menangguhkan lagi kes tersebut, walaupun sebelum ini pihak Anwar sendiri memohon penangguhan tersebut dengan pelbagai alasan.

Sama ada kes itu akan terus dibicarakan hari ini atau satu tarikh lain ditetapkan bagi perbicaraan, akan ditentukan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah.

Jika diteruskan, kes berprofil tinggi itu sudah tentu mengundang perhatian ramai kerana tiba giliran peguam bela Anwar yang diketuai Karpal Singh menyoal balas Mohd. Saiful Bukhari sebagai saksi pendakwa pertama.


Pada 8 Februari lalu, Anwar memohon supaya hakim itu menarik diri kerana bertindak berat sebelah apabila enggan melayan permohonannya untuk mengambil tindakan menghina mahkamah terhadap Utusan Malaysia berhubung dua artikel yang disiarkan akhbar itu.

Mohamad Zabidin menolak permohonan tersebut. Anwar, 63, menghadapi tuduhan meliwat Mohd. Saiful Bukhari, 25, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, No.99 Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Mohd. Saiful Bukhari telah selesai memberi keterangan pada peringkat pemeriksaan utama oleh pihak pendakwaan selama tiga hari mulai 3 Februari lalu, selepas kes itu tertangguh sejak 1 Julai tahun lalu.

Dalam keterangannya, anak sulung daripada dua beradik itu mendakwa, sebagai pembantu peribadi Anwar, dia pernah menerima elaun AS$1,000 (RM3,400) dan 10,000 dolar Hong Kong (RM4,300) semasa mengikuti kunjungan Ketua Pembangkang itu ke Singapura dan Hong Kong.

Selain itu, dia yang pernah melakukan sumpah laknat atau mubahalah pada 15 Ogos 2008 berkata, semasa di tempat kejadian, Anwar ada bertanyakan "Can I f***k you today?" kepadanya dan memeluknya dalam keadaan mereka hanya memakai tuala mandi.

Pemuda itu juga memaklumkan, Anwar pernah menawarkan untuk membiayai pengajiannya di mana-mana universiti dan pada masa sama memperoleh gaji penuh serta elaun sewaktu dia meluahkan hasrat berhenti kerja.