Monday, March 8, 2010

Pemecatan Anwar daripada Kabinet sah - Mahkamah Persekutuan

PUTRAJAYA 8 Mac - Mahkamah Persekutuan di sini hari ini mengisytiharkan bahawa pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada jawatan dalam Kabinet 11 tahun lalu sah disisi undang-undang setelah rayuannya ditolak.

Pemecatan Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dibuat oleh kerajaan pada 2 September 1998 adalah sah.

Keputusan itu dicapai sebulat suara oleh tiga hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Wira Mohd Ghazali Mohd Yusof dan Datuk Abdull Hamid Embong

Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff berkata Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, mempunyai kuasa mengikut Perlembagaan Persekutuan untuk memecat anggota kabinetnya.

Katanya Yang di-Pertuan Agong selaku raja berperlembagaan, dikehendaki bertindak selaras dengan nasihat Perdana Menteri.

Pada 25 April 2007 lalu, Mahkamah Rayuan juga turut menolak permohonan peguam Anwar, Karpal Singh yang memohon mahkamah mengistiharkan pemecatan Anwar adalah tidak sah.

Keputusan dicapai sebulat suara daripada tiga hakim Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin, Datuk Mohamed Raus Sharif dan Datuk Heliliah Mohamed Yusof.

Raus, dalam penghakiman 19-muka, berkata surat pemansuhan pelantikan Anwar sebagai menteri kabinet, dikeluarkan Dr Mahathir pada 2 Sept 1998, mematuhi Artikel 43 (5) Perlembagaan Persekutuan oleh kerana itu merupakan bukti lebih dari cukup untuk menunjukkan formaliti menasihatkan Yang di-Pertuan Agong mengenai pemansuhan telah dilakukan oleh bekas perdana menteri.

"Di bawah skim Perlembagaan Persekutuan kita, Yang di-Pertuan Agong adalah raja berperlembagaan yang bertindak mengikut nasihat menteri dan bukan atas initiatifnya sendiri. Kuasa memecat menteri sebenarnya berada pada Perdana Menteri. Beliau boleh pada sebarang masa menasihatkan Yang di-Pertuan Agong memecat mana-mana menteri dan Seri Paduka bertanggungjawab untuk bertindak atas nasihat Perdana Menteri.

"Ringkasnya, tidak ada menteri boleh kekal dalam kabinet, jika Perdana Menteri memutuskan beliau harus dipecat," kata beliau.

Anwar memohon membantah keputusan mahkamah tinggi, dibuat sembilan tahun lepas, yang menolak permohonannya bagi perintah untuk mengisytiharkan keputusan Dr Mahathir untuk memecat beliau dari jawatan kabinet adalah tidak mengikut undang-undang, tidak sah dan batal.

Beliau berhujah bahawa pemansuhan jawatannya mestilah dikuatkuasakan oleh Yang di-Pertuan Agong yang bertindak atas nasihat perdana menteri dan bahawa pemansuhan itu tidak boleh dikuatkuasakan oleh perdana menteri tanpa terlebih dulu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Raus berkata beliau tidak dapat melihat bagaimana kes Anwar boleh dipertahankan oleh kerana relif yang beliau pohon, iaitu, untuk mengisytiharkan yang beliau masih seorang menteri kabinet, adalah bersifat akademik oleh kerana beliau tidak lagi anggota salah satu dewan Parlimen dan Parlimen, dalam mana beliau dipilih sebagai anggota Dewan Rakyat, telah dibubarkan. Beliau juga berkata tidak ada isu yang boleh dibicarakan.

Oleh itu, untuk menerima hujah pembelaan agar kes itu dibawa semula ke Mahkamah Tinggi untuk ulang bicara merupakan langkah sia-sia, kata beliau.

Zulkefli berpendapat tidak ada salahnya bagi Dr Mahathir, sebagai perdana menteri ketika itu, menyatakan dalam surat pemansuhan bahawa dengan rasa dukacita beliau terpaksa memecat Anwar dari memegang jawatan dalam kerajaan.

Beliau berkata tidak ada peruntukan dalam undang-undang mengenai bagaimana pemansuhan jawatan seorang menteri kabinet harus dikuatkuasakan atau pemansuhan jawatan Anwar sebagai menteri kabinet harus disampaikan kepada Anwar secara peribadi oleh Yang di-Pertuan Agong.

"Surat pemansuhan pelantikan Anwar, yang diserahkan kepada Anwar, menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong telah diberitahu. Pada pendapat saya kenyataan ini dari responden pertama (Dr Mahathir), adalah adil untuk membuat kesimpulan bahawa sebenarnya pada atau sebelum 2 Sept 1998, keputusan dan nasihat Dr Mahathir telahpun disampaikan kepada Yang di-Pertuan Agong dan bahawa Yang di-Pertuan Agong telah menerima keputusan dan nasihat itu.

Heliliah memutuskan bahawa saman oleh Anwar adalah tidak berasas, boleh membawa kepada salahguna proses mahkamah dan tidak dapat dipertahankan oleh kerana Anwar tidak diambil berkhidmat di bawah kontrak swasta ataupun oleh pihak berkuasa berkanun. Sebaliknya sumber pelantikannya berada dalam bidang kuasa undang-undang awam, iaitu Perlembagaan Persekutuan.

Anwar yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan itu telah memohon kesnya didengar di Mahkamah Persekutuan dan keputusannya tetap sama seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan hari ini