Tuesday, March 16, 2010

Kes liwat: Anwar tarik balik rayuan mohon hakim tarik diri

KUALA LUMPUR 16 Mac – Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menarik balik rayuan berhubung keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mohd. Zabidin Mohd. Diah menolak permohonannya agar menarik diri daripada mendengar kes liwatnya.

Mahkamah Rayuan menetapkan rayuan itu didengar pada 19 Mac ini.

Pada 19 Februari lalu, Anwar memfailkan notis rayuan setelah tidak berpuas hati dengan keputusan Hakim Mohamad Zabidin sehari sebelum itu yang menolak permohonannya supaya menarik diri daripada terus mendengar kes liwat tersebut.

Notis rayuan itu difailkan menerusi firma peguam Tetuan S.N. Nair & Partners di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi dan salinan notis itu turut dihantar ke Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya.

Sebelum itu, ketika menolak permohonan Ketua Pembangkang itu, Hakim Mohamad Zabidin memutuskan tidak ada sebab kenapa beliau perlu menarik diri daripada mendengar kes itu dan jika beliau berbuat demikian, bermakna beliau lari daripada tanggungjawabnya sebagai seorang hakim.

Katanya, seseorang hakim yang telah mengangkat sumpah jawatan sudah semestinya tidak boleh mengelak diri daripada menjalankan tugas yang diamanahkan kepadanya.

Sementara itu, Mohamed Yusof dalam afidavit jawapan terhadap permohonan Anwar berkata, pihaknya membantah permohonan ketua pembangkang itu atas alasan ia perkara remeh.

"Permohonan itu tidak mempunyai merit, justifikasi, remeh serta satu penyalahgunaan proses mahkamah," kata beliau.

Menurut beliau, pihak pendakwaan turut menafikan dakwaan Anwar bahawa keputusan hakim membawa kepada elemen berat sebelah serta lari daripada keadilan undang-undang.

Hakim tersebut, kata Mohamed Yusof, telah membuat keputusan dengan bebas bersandarkan fakta.

Hakim Mohamad Zabidin menangguhkan sehingga 25 Mac sementara menunggu keputusan rayuan Anwar di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.