Saturday, December 19, 2009

Saya mempunyai hubungan dengan UMNO dan PAS - Dr Yusof Qaradawi




PUTRAJAYA - “Saya bertemu dengan pihak pemerintah sama ada daripada Umno mahupun PAS serta saya pernah menerima anugerah daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM),” kata Dr Yusuf Abdullah Al-Qaradawi semasa dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Antarabangsa sempena sambutan Maal Hijrah 1431/2009

Dalam ucapannya, tokoh ilmuwan kelahiran Mesir itu berkata, beliau menghargai anugerah yang diberikan kepadanya namun apa yang lebih utama ialah kekagumannya terhadap kebangkitan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang menjadi kebanggaan umat di seluruh dunia.

“Hubungan dan perkenalan saya dengan Malaysia bukanlah baru hari ini atau pun semalam, malah ia adalah satu hubungan yang telah bermula sejak setengah kurun yang lalu.

“Saya mempunyai hubungan yang akrab dengan individu, ulama dan institusi di sini,” katanya selepas menerima anugerah berkenaan.

Menurutnya, beliau telah beberapa kali datang ke negara ini atas jemputan universiti dan masjid-masjid serta berjumpa dengan sebilangan guru-guru selain pelajar-pelajar.

Anugerah Tokoh Maal Hijrah Kelapan itu disampaikan oleh Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada majlis sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1431 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya semalam.

Sebagai penerima, Yusuf memperoleh wang tunai sebanyak RM100,000, sebuah plak, pingat dan sijil penghargaan.

Yusuf adalah Pengerusi Kesatuan Ulama Sedunia, seorang ulama, pemikir, sarjana dan merupakan golongan intelek kontemporari pada abad ini.