KUALA LUMPUR - Menurut maklumat beberapa blog, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dijangka akan mengumumkan pengunduran setiausaha politiknya Anual Bakhri Haron tidak lama lagi.
Blog Penarik Beca menyebut khidmat pegawai Nik Abdul Aziz itu bakal berakhir pada 1 Januari ini - alasannya Anual Bakhri dekat dengan Datuk Husam Musa. Husam pula didakwa individu di sebalik tabir kontroversi Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) yang diterajui oleh Abdul Ariffahmi Ab Rahman, menantu Nik Abdul Aziz.
Blog Mohd Sayuti Omar (MSO), berita itu sudah tersebar di Kota Bharu. Khabarnya pengumuman mengenai hal itu akan dibuat esok.
Menurut MSO semasa menjadi Setiausaha Politik Anuar Bakhri rancak menulis dan menerbit buku. Beliau memiliki sebuah penerbit sendiri iaitu Anbakri Publication. Kebanyakan buku yang diterbitkan ialah buku ucapan dan kata-kata hikmah Tok Guru Nik Aziz.Beliau dikatakan lebih berperwatakan romantik dan tidak menyerlah sebagai seorang ahli politik yang bergaya.
Tidak lama dahulu, Anual Bakhari menjadi topik paling panas apabila anak Menteri Besar, Nik Abduh mendedahkan terdapat pembantu sesat yang memberi nasihat salah kepada ayahandanya yang bertujuan melaga-lagakan ayahandanya dengan Tuan Guru Hadi Awang. Ramai yang berpendapat fokus Nik Abduh itu ditujukan kepada Anual Bakri.
Sebelum menjadi Setiausaha Nik Aziz, Anual Bakhari merupakan salah seorang pegawai di kementerian Kewangan, semasa zaman Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi menteri kementerian berkenaan.
Anual Bakhari meletakkan jawatan di Kementerian Kewangan sebaik sahaja Anwar dipecat daripada kerajaan pada tahun 1998. Beliau mula mengambil alih jawatan Setiausaha Politik Nik Aziz pada tahun 1999, yang sebelum ini disandang oleh Husam Musa. Husam berhenti menjawat jawatan tersebut kerana bertanding dalam pilihan raya umum tahun tersebut.