Thursday, December 17, 2009

Mahkamah Rayuan : SPRM Boleh Soal Siasat Luar Waktu Pejabat, Tan Boon Hwa diperintah bayar RM10,000

Oleh AIDCNews

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh menyoal siasat saksi selepas waktu pejabat bagi tujuan memerangi jenayah rasuah.

Dalam keputusan sebulat suara, Hakim Datuk Hasan Lah yang mengetuai panel yang terdiri daripada Hakim Datuk Ahmad Maarop dan Hakim Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad berkata, Seksyen 30(3)(a) Akta SPRM tidak menetapkan sebarang tempoh masa bagi SPRM menyoal siasat saksi.

Dengan keputusan ini bermakna mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang menyatakan peruntukan di dalam akta SPRM hanya memperuntukkan siasatan mesti dijalankan semasa waktu pejabat, antara 8.30 pagi dan 5.30 petang

"Seksyen 30(3)(a) akta itu terbahagi kepada dua bahagian yang mana bahagian pertama membawa maksud tiada tempoh masa bagi merekodkan kenyataan saksi dan bahagian kedua perkataan "hari ke hari" adalah siasatan perlu diteruskan pada sebarang masa bagi hari ke hari sehingga pemeriksaan selesai", rumus Hakim Datuk Hasan Lah.


Dalam keputusannya membenarkan rayuan SPRM terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, Hakim Hasan juga mengarahkan Tan Boon Hwa untuk membayar kos sebanyak RM10,000 kepada SPRM.

Tan, 39, menyaman Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan, Penolong Penguasa SPRM, Mohammad Hassan Zulkifli dan SPRM, dengan mendakwa bahawa penahanan dan soalsiasat selama 16 jam sehari oleh SPRM adalah menyalahi undang-undang dan menyebabkan beliau mengalami kerugian serta kesan buruk.

Dalam reaksi segera, Ketua Bahagian Pendakwaan Undang-Undang SPRM, Datuk Abdul Razak Musa yang hadir di mahkamah ketika ditanya pemberita berkata keputusan hari ini menggalakkan saksi untuk datang ke pejabat SPRM bagi merekodkan kenyataan pada sebarang masa mengikut kesenangan mereka.

"Jika mereka sibuk dengan kerja mereka, mereka boleh datang pada bila-bila masa, SPRM dibuka 24 jam untuk merekodkan kenyataan," katanya.