Friday, December 4, 2009

Nallakarupan berjaya ketepikan helah Anwar

KUALA LUMPUR - Datuk S. Nallakarupan, pada 1 Disember lalu telah berjaya mengenepikan helah Anwar untuk menutup kes penerimaan wang judi sebanyak RM60 juta daripada Syarikat Magnum Corporation Bhd.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Nallakarupan membekalkan butiran terperinci berhubung dakwaan bahawa Anwar menerima wang RM60 juta daripada syarikat perjudian tersebut.

Antara butiran yang perlu diserahkan dalam masa 14 hari itu ialah tarikh transaksi RM60 juta dibuat, siapa yang memberikannya dan tempat duit itu diserahkan.

Nallakarupan dalam afidavit balasnya telah menyatakan secara terperinci transaksi RM60 juta itu dilakukan serta melampirkan bukti-bukti dokumen yang berkaitan.

Menurut Nallakarupan, salah satu transaksi dibayar kepada badan pemikir Anwar iaitu Institut Kajian Dasar (IKD) untuk membiayai kos melaksanakan program-program.

Dengan jawapan balas daripada Nallakarupan ini menyebabkan pihak mahkamah telah berpuas hati dan membenarkan kes ini terus dibicarakan.

Nallakarupan adalah rakan sepermainan tenis Anwar sekitar tahun 1990-an yang ketika itu Anwar adalah Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, manakala Nallakarupan merupakan Eksekutif Director Magnum Corporation Bhd.

Dalam kes ini, Anwar diwakili oleh dua peguam iaitu S.N.Nair dan Wan Anuar Wan Syahadat, manakala Nallakarupan diwakili peguam S Murali.

Anwar yang juga Ketua Pembangkang dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat, menyaman Nallakarupan berhubung artikel bertajuk "Anwar terima RM60 juta" yang disiarkan dalam akhbar Mingguan Malaysia dan Sinar Harian sekitar Ogos 2008 kerana mendakwa Nallakarupan bercakap sesuatu yang tidak benar mengenainya.