Saturday, December 19, 2009

Dr Yusof Al Qaradawi seru umat Islam berdamai



Pengerusi Kesatuan Ulama Sedunia, Prof Dr. Yusof Abdullah Al-Qaradawi sewaktu menghadiri Muhadharah Perdana di Pusat Konvesyen Putarajaya hari ini menyatakan Islam mementingkan perdamaian bukan permusuhan.

Tambahnya lagi, pihak yang suka bermusuh dan berperang adalah golongan Yahudi iaitu musuh kepada orang Islam. Orang kafir suka berperang habis-habisan sehingga membunuh semua pihak dan ini adalah berbeza dengan sifat agama Islam.

Menurutnya terdapat hadis yang menyatakan nama yang paling disukai oleh Allah Swt adalah Abdul Rahman dan Abdullah dan nama yang dibenci adalah Harbun kerana bermaksud peperangan, menurut beliau ini merupakan bukti Islam begitu bencikan peperangan dan permusuhan.

Kenyataan ulama besar umat Islam ini dibuat di dalam majlis yang dihadiri lebih 2000 orang di Putrajaya dan diulanginya beberapa kali seolah beliau menggesa umat Islam supaya bersatu memikirkan cara terbaik untuk memartabatkan agama Islam.

Menurutnya, Islam berkembang dengan hujah dan akhlak namun cuba dikelirukan oleh orientalis barat yang cuba mengambarkan keburukan Islam dengan mewujudkan pelbagai persepsi.

Selain itu beliau juga menyeru umat Islam supaya bersederhana dan jangan terlalu ekstrim bagi mengelakkan Islam di manipulasi oleh musuh islam. Apa yang lebih penting lagi beliau menyarankan agar umat Islam sentiasa terus berdakwah agama Islam kepada musuh Islam dengan cara yang sesuai.

Dalam pada itu Dr Yusuf Qardawi menyatakan kekesalannya terdapat apa yang berlaku di Indonesia. Sewaktu beliau ke Indonesia beliau dapati kitab injil disebarkan secara meluas dan diletakkan di bilik hotel-hotel bagi tujuan menarik penganut agama lain. Dan sebaliknya kitab Al-Quran dipinggirkan kerana kecetekan pendakwah Islam di sana.

Kehadiran Dr. Yusuf Qardawi di dalam majlis anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu merupakan acara yang kedua di Malaysia selepas menghadiri program sambutan Maal Hijrah sebelum ini, dimana dalam majlis itu beliau telah dinamakan sebagai tokoh Maal Hijrah peringkat Antarabangsa oleh pihak penganjur.