KUALA LUMPUR - Kedua-dua wakil dari PKR dan DAP hari ini menyatakan ketidaksetujuan dengan cadangan pelantikan Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai 'pemimpin rohani' Pakatan Rakyat.
Ketua Angkatan Muda PKR, Shamsul Iskandar Md Akin seperti yang dilaporkan oleh Malaysiakini hari ini berkata cadangan itu bersifat peribadi dari Datuk Zaid Ibrahim, seorang anggota biro politik PKR dan belum diluluskan sebagai dasar parti.
"Usul ini tidak sesuai dibincangkan buat masa ini kerana Pakatan belum mempunyai struktur lagi", katanya.
Sementara ketua Pemuda DAP, Anthony Loke Siew Fook pula dengan tegas menolak cadangan pelantikan Nik Aziz sebagai 'pemimpin rohani' itu.
Katanya, "Memang DAP bukan parti berteraskan agama. Jadi bagi kita, tidak perlu pemimpin rohani."
Pada 17 November lalu, Zaid mengesyorkan nama Nik Aziz sebagai 'pemimpin rohani' dengan alasan Pakatan memerlukan seorang tokoh seperti Mahatma Gandhi, yang tidak bercita-cita merebut jawatan tinggi.
Nik Aziz dalam wawancara dengan Malaysiakini semalam telah menyatakan persetujuannya menerima cadangan pelantikan sebagai 'pemimpin rohani'.
Cadangan Zaid melantik Nik Aziz sebagai 'pemimpin rohani' Pakatan telah menimbulkan polemik di kalangan PKR dan DAP kerana bertindih dengan peranan yang dimainkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai 'Ketua Pakatan' sebelum ini.
Ditanya kedudukan Datuk Seri Anwar Ibrahim pula, Shamsul Iskandar dan Anthony sepakat bahawa kepemimpinan mantan timbalan perdana menteri itu secara tidak rasmi diterima berdasarkan kepercayaan yang diberikan baginya mempengerusikan mesyuarat pembangkang.