Thursday, December 10, 2009

Kes Saman Anwar-Dr Chandra, 16 Mac

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 16 Mac bagi pengurusan kes saman fitnah RM10 juta yang difailkan penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, terhadap tokoh akademik dan Presiden Just World Movement, Dr Chandra Muzaffar.

Tarikh itu ditetapkan apabila kes itu dikemukakan untuk sebutan di hadapan timbalan pendaftar Norazlin Othman di dalam kamar hari ini.

Anwar menyaman Dr Chandra berikutan dakwaan kenyataan fitnah yang dikeluarkannya pada satu forum di Menara Star di Petaling Jaya pada 3 Mac tahun lalu dan kemudiannya disiarkan dalam akhbar.

Pada 7 Ogos lalu, Pesuruhjaya Kehakiman Datin Zabariah Mohd Yusof memerintahkan Dr Chandra untuk membekalkan butiran dan maklumat lanjut mengenai 64 soalan kepada pemimpin PKR itu.

Dr Chandra dalam hujah pembelaan menafikan mengeluarkan sebarang komen berniat jahat dan palsu berhubung Anwar yang kemudiannya disiarkan di dalam dua akhbar harian berbahasa Inggeris pada 5 Mac tahun lalu.