Zahid Md Arip mendedahkan sikap Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah suka memutarbelitkan maklumat sebenar, buktinya dalam kes pertemuan dengan Tun Ghafar Baba.
Zahid yang juga merupakan cucu kepada Tun Ghafar Baba mendedahkan Anwar sendiri menghubunginya untuk berjumpa dengan Ghafar untuk meminta maaf tetapi diberitahu kepada para penyokongnya dengan memutarbelitkan maklumat mengatakan Ghafar mahu berjumpanya untuk meminta maaf.
Bekas Naib Ketua Parti Keadilan Nasional mendedahkan sikap Anwar tersebut ketika berceramah di Dewan Generasi Wawasan, Ijok, pada 25 Julai lalu.
Menurut Zahid, pada tahun 2004, selepas Anwar dibebaskan dari penjara Sungai Buloh dan merawat di Munich, Ketua Umum PKR itu telah menelefonnya meminta tolong untuk mengadakan temujanji berjumpa dengan Tun Ghaffar Baba.
Zahid telah memberitahu hasrat Anwar itu kepada Tun Ghaffar, tetapi Tun Ghaffar tidak memberi apa-apa jawapan, memandangkan beliau pernah dipermainkan oleh Ketua Umum PKR itu.
Menurut Zahid, semasa Tun Ghaffar memegang jawatan Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri, beliau pernah bertanya secara terus terang kepada Anwar, adakah beliau berhasrat melawan jawatan Timbalan Presiden UMNO.
Seandainya Anwar berhasrat menjawat jawatan tersebut, Tun Ghafar bersedia menyerahkannya secara terhormat.
Menjawab pertanyaan Tun Ghafar itu, Anwar menafikannya. Anwar berkata beliau tidak berminat melawan jawatan Timbalan Presiden UMNO dan melawan Tun Ghaffar Baba.
"Tetapi selepas itu, Anwar umumkan bertanding jawatan tersebut, tinggal sehelai sepinggang orang tua itu dirempuh Anwar", kata Zahid.
Menurut Zahid lagi, selepas itu Anwar menelefon lagi dari Munich untuk mendapatkan pengesahan mengenai pertemuannya dengan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.
Zahid menjawab, permohonan Anwar itu telah disampaikan kepada Tun Ghaffar tetapi belum mendapat jawapan.
"Aik belum dapat jawapan lagi?, yang sudah tu, sudah lah, saya nak jumpa dia, sebab nak minta maaf dengan dia", kata Anwar kepada Zahid.
Sekali lagi Zahid memberitahu datuknya agar menerima pelawaan Anwar kerana Ketua Umum PKR itu telah insaf semasa ditahan enam tahun di penjara serta kedatangannya semata-mata untuk memohon maaf.
Akhirnya Tun Ghaffar Baba bersetuju dan menetapkan pertemuan pada hari raya ketujuh, jam 8.30 malam di rumah Tun Ghaffar sendiri. Tun Ghaffar juga turut memberi syarat, Anwar tidak membawa orang lain dalam pertemuan itu, kecuali hanya isterinya, Datin Seri Wan Azizah sahaja.
Selepas itu Zahid menelefon semula Anwar menyatakan persetujuan datuknya itu. Anwar berterima kasih di atas pertolongan bekas Naib Ketua Parti Keadilan Nasional itu.
Selepas itu, Zahid terjumpa dengan Abd. Rahman Othman, Timbalan Presiden PKR di Bangsar, tiga hari sebelum hari raya.
"Kenapa Encik Ghaffar nak jumpa Anwar?" tanya Abd. Rahman kepada Zahid.
"Ghafar nak jumpa Anwar ?. Tak betul. Tak betul. Yang betul adalah Anwar telefon kepada saya dari Munich minta aturkan bertemu dengan Ghaffar", balas Zahid.
"Tak betul?. Saya baru balik dari rumah Anwar, Anwar kata Encik Ghaffar telefon dia, nak jumpa dia, sebab Encik Ghaffar nak minta maaf" kata Abd. Rahman.
"Anwar beritahu lagi, dia bersetuju jumpa encik Ghaffar. Dia minta Encik Ghaffar tunggu di rumah. Dia dan Azizah akan datang sendiri ke rumah En Ghaffar", kata Abd Rahman lagi.
Apabila mendengar penjelasan bekas orang kuat PKR itu,berkenaan dengan pertemuan yang dimanipulasikan Anwar Zahid terus menelefon dan memaki hamun Ketua Umum PKR itu.
"Awak ni betul-betul binatang politik, saya akan pastikan pertemuan datuk saya dengan awak tidak akan berlaku", kata Zahid kepada Anwar dengan nada marah.