Tuesday, July 27, 2010

Kenapa perlu Anwar pujuk Nallakarupan ?

Manjeet Singh Dhillon, peguam Balasubramaniam sendiri mengakui beliau bertanggungjawab menjadi 'orang tengah' untuk menghubungkan kembali ikatan persahabatan Datuk S. Nallakarupan dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya cuba menghubungkan dua kawan yang bergaduh ketika itu untuk berbaik semula. Persahabatan Anwar dan Nallakaruppan menjangkaui parti politik. Jika dua kawan bergaduh, adakah salah untuk cuba merapatkan mereka semula?”, kata Manjeet seperti dilaporkan portal media pro Anwar, Malaysiakini, 24 Julai lalu. Klik di sini

Sepatutnya isu Manjeet menjadi 'orang perantaraan' untuk memujuk Nallakarupan, tidak lagi berbangkit kerana diakui sendiri oleh peguam Balasubramaniam itu.

Pada pukul 12.35 tengah hari semalam, Nallakarupan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields kerana mendakwa Manjeet mengeluarkan kenyataan berunsur ugutan terhadapnya dan Anuar Shaari.

Kata Nallakarupan, beliau menerima panggilan telefon daripada peguam itu pada pukul 8.22 malam kelmarin yang memaki-hamun dan memarahinya ekoran laporan media mengenai pujukan tersebut.

Nallakarupan pada 5 Jun lalu pernah mendedahkan kepada Utusan Malaysia bahawa pujukan Manjeet bermula selepas pakatan pembangkang menang besar pada pilihan raya umum 2008.

Dakwanya, pujukan itu semakin kuat menjelang 'pelan pembentukan kerajaan Pusat' oleh Anwar melalui kaedah lompat parti pada 16 September 2008.

"Manjeet suruh saya jumpa Anwar, kononnya dia akan jadi Perdana Menteri. Banyak kali dia pujuk saya sama ada melalui telefon atau secara bersemuka," katanya kepada Utusan Malaysia.

Menceritakan lebih lanjut, Nallakarupan berkata, beliau tidak menyahut pujukan itu sebaliknya bertanya pula apakah habuan besar yang bakal diperoleh Manjeet sekiranya Anwar menjadi Perdana Menteri.

Nallakarupan seperti dilaporkan Utusan Malaysia hari ini turut mengulas lanjut sikap tidak konsisten Manjeet.

"Dahulu (1998) dia yang marah-marah Anwar Ibrahim tetapi sekarang (2010) bersungguh-sungguh pula menyokongnya."

Nallakarupan mengimbau pada 1998 semasa beliau ditahan di Penjara Sungai Buloh kerana mempertahankan perjuangan Anwar, Manjeet yang juga rakan baiknya meminta beliau mendedahkan segala keburukan Anwar.

"Itulah yang saya hairan kerana beliau (Manjeet) tidak tetap pendirian seperti lalang, saya memang kawan baik dia dan amat menghormatinya tetapi amat kecewa dengan pendiriannya yang berubah sekarang.

Sejarah Nallakarupan dengan Anwar

Pada tahun 1998, Manjeet Singh Dhillon merupakan peguam Nallakarupan yang ditahan memiliki 125 butir peluru hidup jenis Fiocchi 6.35 mm, 150 butir peluru 38 special, 96 butir peluru 12 bore dan sepucuk pistol jenis 38 Smith & Wesson, disimpan di rumahnya di Bukit Tunku, sejak 1986 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.

Pihak polis yang melakukan pemeriksaan di rumahnya diketuai oleh Musa Hassan, Penolong Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (sekarang ketua polis negara), pada 31 Ogos 1998 jam 4.30 petang.

Nallakarupan ketika itu merupakan Pengarah Perhubungan Awam syarikat judi Magnum Berhad yang yang ketika itu dianggap 'rakan bermain tenis' kepada Anwar yang menjawat Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia.

Menurut Afidavit Musa Hassan, pegawai penyiasat Anwar, Nallakarupan merupakan 'individu' yang bertanggungjawab membekalkan wanita-wanita kepada Anwar untuk aktiviti seks haram. Klik di sini

Ketika Anwar menghadapi perbicaraan kes rasuah dan liwat pada tahun 1998, Nallakarupan bersama peguamnya, Manjeet berpihak kepada Anwar.

Manjeet juga gagal dalam pembelaannya ke atas Nallakarupan yang didakwa memiliki peluru pistol tanpa permit menyebabkan anak guamnya dipenjarakan satu tahun.

Selepas dibebaskan dari penjara beliau membawa keluarganya berhijrah ke luar negara sebelum kembali ke tanahair pada tahun 2003.

Pada tahun tahun 2004, Anwar memujuk Nallakarupan untuk menyertai PKR untuk membantunya memperkasakan kaum India dalam parti tersebut.Namun hanya pada tahun 2006, Nalakarupan menerima pelawaan Anwar itu.

Pada April 2007, Nallakarupan mendapat pencalonan tertinggi untuk posisi Naib Presiden PKR, namun terpaksa menarik diri daripada pencalonan tersebut setelah dinasihati Anwar yang mahukan Azmin Ali mengisi tempat bekas pemain tenis Anwar itu.

Pada 23 Mei 2007, Nallakarupan mengumumkan keluar dari PKR [klik di sini] dan menubuhkan parti baru, Parti Bersatu India Malaysia (MIUP). Klik di sini

Dalam kenyataan kepada Malaysiakini, beliau keluar parti setelah sudah dua kali dipermainkan oleh kawan karibnya, Anwar Ibrahim, yang juga penasihat PKR, selepas memberi jaminan bahawa beliau (Nalla) akan diberi peranan penting dalam parti itu.

“Kali pertama Anwar memberitahu saya patut bertanding dalam pilihanraya kecil Ijok. Tetapi pada saat-saat akhir, beliau meminta saya menarik diri dan memberi kerusi itu kepada Tan Sri Khalid Ibrahim.

Nallakaruppan berkata beliau sekali lagi ‘dipermainkan” berhubung dengan keputusannya untuk bertanding jawatan naib presiden PKR dalam pemilihan parti itu pada 25 Mei 2007.


Nallakarupan bongkar kegiatan Anwar

Nallakarupan semasa kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh , 2009 mendakwa bekas sahabat baiknya,Anwar Ibrahim, pernah menerima wang sebanyak RM60 juta daripada sebuah syarikat perjudian iaitu Magnum Corporation Bhd.

Kata Nalla, "Anwar mengambil wang sebanyak itu daripada tangan saya sendiri. Saya tidak tahu apa dia buat dengan wang itu"

Ekoran daripada kenyataan itu, Anwar telah menyaman ke atas Nallakarupan.

Bekas rakan permainan tenis Anwar itu menyambut baik saman saman tersebut. Bahkan dia sangat gembira kerana dapat bertemu Anwar di mahkamah.

“Ini adalah hari paling gembira buat saya kerana pada akhirnya saya akan dapat jumpa Anwar di mahkamah. Nanti di mahkamah saya akan dedah dan buktikan semuanya mengenai wang RM60 juta itu, katanya

“Saya juga akan dedahkan mengenai lima pita rakaman yang saya simpan di luar negara mengenai Anwar”, katanya lagi. Klik di sini

Ternyata kenyataan Nallakarupan benar, kerana sepanjang proses pengurusan saman tersebut, Peguam Anwar, SN Nair berusaha mengugurkan kes. Misalnya pada 29 Ogos 2009, SN Nair "mengemukakan permohonan di Mahkamah Tinggi meminta Nallakarupan mengemukakan bukti berhubung dakwaan beliau bahawa Anwar menerima 60 juta dari Magnum Corporation Bhd, jika gagal mengemukakan bukti dalam tempoh 14 hari, maka pihak Anwar akan mendesak untuk menggugurkan kes".

Namun permohonan Anwar gagal dan kes masih dijalankan sehingga ke hari ini.

Anwar minta Manjeet pujuk Nallakarupan

Memandangkan Manjeet merupakan bekas peguam Nallakarupan, Anwar telah meminta bantuan daripada peguam itu untuk memujuk semula bekas rakan tenisnya itu.

Tetapi usaha Manjeet itu dipandang sinis oleh Nallakarupan.

"Saya meminta sahabat saya yang juga dahulunya peguam saya, Manjeet Singh Dhillon tidak lagi memujuk saya untuk kembali berbaik dengan Anwar.

"Saya tahu Manjeet amat rapat dan mempunyai hubungan yang amat baik dengan Anwar tetapi keputusan saya meninggalkan Anwar adalah atas prinsip dan ia satu keputusan muktamad," katanya seperti dialporkan Mingguan Malaysia. Klik di sini

Sementara itu, Anuar Shaari bekas Setiausaha Sulit Anwar dalam kenyataan medianya semalam turut menyelar sikap Manjeet yang menafikan kaitan peguam itu dengan agenda Anwar.

"Saya amat hairan dengan sikap Manjeet yang beria-ia tidak mahu dikaitkan dengan Anwar. (sedangkan), masyarakat Malaysia dapat melihat kaitan Anwar dengan Raja Petra Kamarudin dan P. Balasubramaniam", kata Anuar Shaari, Klik di sini