Thursday, July 8, 2010

Perbicaraan kes liwat Anwar ditunda 19 Julai

KUALA LUMPUR - Perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sepatutnya dijalankan pada 14 Julai terpaksa ditangguhkan kepada 19 Julai 2010.

Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur bersetuju dengan permohonan penangguhan oleh Karpal Singh, Ketua Peguambela Anwar yang memberi alasan pada tarikh tersebut beliau dan anak guamnya perlu menghadiri sidang parlimen yang telah dilanjutkan selama dua hari (14-15 Julai).

Pada 3 Jun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah kemudian menetapkan 14 Julai untuk menyambung prosiding selepas ketua pembangkang itu memohon supaya semua dokumen perubatan dibekalkan kepada beliau.

Permohonan itu dibuat sehari selepas seorang doktor yang memberi keterangan kepada mahkamah, mengesahkan berlakunya penetrasi zakar ke atas Mohd Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa diliwat oleh Anwar.

Mahkamah dijadual mendengar pemeriksaan balas terhadap pakar bedah dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Mohd Razali Ibrahim selepas pihak pendakwaan selesai melakukan pemeriksaan utama terhadap saksi kedua tersebut.

Bagaimanapun, peguam utama Anwar, Karpal Singh memaklumkan kepada mahkamah yang penuh sesak itu bahawa pihak pembelaan memerlukan beberapa dokumen dan bahan untuk diteliti oleh pakar forensik Australia Prof Madya David Lawrence Noel Wells, yang dilantik sebagai pemerhati oleh pasukan pembelaan Anwar, sebelum menyoal balas Dr Mohd Razali.

Antara rekod yang dipohon oleh Anwar ialah nota klinikal tiga doktor dari HKL yang memeriksa Mohd Saiful pada 28 Jun 2008, dua hari selepas Mohd Saiful mendakwa diliwat oleh Anwar.

Selain sejarah perubatan lengkap Mohd Saiful, Anwar turut memohon dibekalkan dengan e-mail, nota tulisan tangan, surat, catatan, nota pemerhatian dan kit serangan seksual yang digunakan dalam pemeriksaan itu.

Anwar juga meminta dikemukakan dengan kelayakan dan pengalaman Mohd Razali dan dua lagi doktor, iaitu pakar rawatan kecemasan, Dr Khairul Nizam Hassan dan pakar patologi forensik, Dr Siew Sheue Feng yang memeriksa Mohd Saiful pada 28 Jun 2008.

Pada 18 Jun lalu, Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menolak permohonan Anwar supaya dibekalkan beberapa dokumen termasuk laporan perubatan Mohd Saiful Azlan Bukhari.

Hakim membuat keputusan itu atas alasan tiada peruntukan atau asas perundangan yang membolehkan dokumen tersebut dibekalkan kepada barisan pembelaan yang mewakili Anwar dalam perbicaraan kes liwatnya.

Anwar sedang dibicarakan kerana didakwa meliwat Mohd Saiful, 25, antara pukul 3.01 dan 4.30 petang, 26 Jun 2008 di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, No 99 Jalan Setiakasih, Bukit Damansara.

Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara 20 tahun dan disebat jika sabit kesalahan.