KUALA LUMPUR - Karpal Singh, Ketua Pasukan Peguam bela Anwar sekali lagi berjaya memohon penundaan prosiding yang sepatutnya dibicarakan jam 3.30 petang ini, ditangguhkan sehingga Khamis (3 Jun) ini.
Semalam, prosiding yang ditangguhkan awal, kira-kira jam 10.24 pagi bagi membolehkan Karpal melawat lokasi, telah ditangguhkan sekali lagi pada jam 2.30 petang semalam, apabila Karpal mengemukakan hujah pihaknya gagal untuk masuk ke lokasi.
Sepatutnya prosiding diteruskan 2.30 petang ini, tetapi Karpal meminta supaya dilanjutkan kepada jam 3.30 petang kerana mereka bimbang tidak sempat datang ke mahkamah. Hakim bersetuju dengan permohonan Karpal itu.
Datuk Seri Anwar Ibrahim, Karpal dan barisan peguamnya dikatakan mengambil masa hampir 50 minit untuk meninjau lokasi kejadian dan kembali semula ke mahkamah untuk menangguhkan prosiding.
Menurut laporan Malaysiakini, alasan pertangguhan prosiding Karpal seperti semalam, iaitu gagal mendapat kebenaran untuk meninjau lokasi.
"Anwar memberitahu wartawan bahawa pihaknya gagal melawat atau meninjau unit kondominium yang mereka kehendaki.
Sebaliknya, mereka dibawa ke sebuah unit lain yang telah mereka lawati pada awal Februari lalu.
“Saya fikir permohonan kami jelas, kami ingin tinjau unit yang satu lagi,” katanya. Klik di sini
Difahamkan, Hassanuddin Abdul Hamid memiliki 3 unit rumah di Tingkat 5, blok 11, Kondo Desa Damansara iaitu iaitu unit 1151, 1152 dan 1153.
Unit 1152 dan 1153 dicantumkan menjadi satu dan dijadikan rumah kediaman Hasanuddin sekeluarga.
Manakala unit 1151 yang didakwa tempat berlakunya kejadian liwat tersebut merupakan 'Rumah Tamu' yang dilengkapi dengan segala peralatan rumah biasa termasuk TV, dapur, kerusi, katil dan lain-lain.
Atas dasar persahabatan Rumah Tamu (unit 1151) itu diberikan kepada Anwar untuk melakukan mesyuarat dan kerja-kerja sulit parti.Rumah Tamu itu tidak dihuni oleh sesiapa. Anwar menggunakan Rumah Tamu itu, secara tidak berkala, berdasarkan tarikh-tarikh tertentu yang memakan masa, 2 hingga 5 jam.
Pada 26 Jun 2008, antara 3.01 petang dan 4.30 petang, Mohd Saiful Bukhari Azlan, bekas pembantu peribadi Anwar mendakwa dirinya diliwat oleh majikannya (Anwar) di Unit 1151 Kondo Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, Kuala Lumpur.
Bermakna, jika Anwar dikatakan gagal melawat lokasi yang satu lagi (unit 1152 & 1153) itu sepatutnya difahami kerana unit itu adalah kediaman peribadi kepunyaan Hassanuddin yang tiada kaitan dengan kes liwat.
Saiful mendakwa dirinya diliwat di unit 1151, yang telah dilawati oleh pasukan pendakwa dan peguam bela serta Anwar sebanyak dua kali sebelum ini.