Friday, June 4, 2010

Prosiding ditangguh 14 Julai, Karpal mahu teliti dokumen

KUALA LUMPUR - Selepas bermulanya prosiding hampir setengah jam, pagi ini, Karpal Singh mewakili ketua peguam bela Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi memohon penangguhan bagi membolehkan pihak mereka meneliti secara terperinci semua keterangan dan dokumen yang telah dikemukakan oleh Dr. Mohd. Razali, dari Hospital Besar, Kuala Lumpur semalam.

Hakim, Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah membenarkan permohonan itu dan menetapkan 14 April ini untuk Karpal menyediakan hujah-hujah pembelaan.

Sekitar jam 9.55 pagi tadi, Peguam Cara Negara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden, telah memanggil semula, Dr Mohd Razali Ibrahim, Pakar Bedah Am Hospital Kuala Lumpur untuk menyambung keterangan yang tertangguh semalam.

Semalam prosiding ditangguhkan kerana Karpal membangkitkan persoalan saksi kedua itu memberi keterangan dalam Bahasa Melayu menyebabkan kesukaran memahami bahasa oleh doktor pemerhati Anwar, Profesor Madya David Lawrence Noel Wells dari Melbourne. Karpal juga turut memohon kepada mahkamah agar pihaknya dibenarkan untuk membuat pemeriksaan balas semasa keterangan saksi itu berlangsung. Hakim membenarkan kedua-dua permohonan Karpal itu.

Namun begitu apabila Dr Mohd Razali Ibrahim tampil dengan bersumpah dalam Bahasa Inggeris dan bersedia memberi keterangan dalam bahasa itu, Karpal sekali lagi membangkitkan persoalan ketidaksempatan untuk meneliti keterangan dan dokumen yang telah dikemukakan oleh pakar bedah, Hospital Kuala Lumpur itu.

Semalam, Dr Mohd Razali memberitahu perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini bahawa laporan kimia ke atas sampel yang diambil dari dubur bekas pembantu Anwar, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, menunjukkan berlaku penetrasi.

"Melihat kepada keputusan laporan ini, sejarah kes daripada Mohd. Saiful, saya dapat mengatakan secara konklusif sekarang bahawa terdapat penetrasi yang konsisten dengan apa yang diberitahu oleh mangsa kepada mahkamah ini bahawa bahan pelincir digunakan semasa insiden itu dan ini mengakibatkan tiada kecederaan ditemui pada duburnya," kata Dr. Mohd. Razali.