PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan hari ini menangguhkan permohonan semakan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mencabar keputusan panel terdahulu yang mengisytiharkan bahawa Anwar tidak berhak mengakses dokumen-dokumen penting, termasuk sampel DNA Mohd Saiful Bukhari Azlan dan pemecatannya daripada semua jawatan Kabinet, 12 tahun lalu adalah sah di sisi undang-undang.
Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria akan menetapkan tarikh lain bagi mendengar permohonan itu sementara menunggu alasan penghakiman terhadap satu kes yang diputuskan pada 25 Februari lalu.
Dua lagi hakim yang menganggotai panel itu ialah Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri James Foong Cheng Yuen dan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Suriyadi Halim Omar.
Pada 25 Februari lalu, panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Anwar untuk menyemak keputusan mahkamah itu yang sebelum ini telah menolak permohonan Penasihat Umum PKR itu untuk dibekalkan dokumen-dokumen penting, termasuk sampel DNA Saiful Bukhari, yang mendakwa diliwat Anwar, pada peringkat pra-perbicaraan kes tersebut.
Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin juga memutuskan bahawa Aturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan tidak memperuntukkan bidang kuasa kepada Mahkamah Persekutuan untuk menyemak semula keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah itu.
Turut sama bersidang adalah Hakim Datuk Wira Mohd Ghazali Mohd Yusoff dan Hakim Datuk Heliliah Yusof.
Hari ini juga, Karpal Singh yang mewakili Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu turut memfailkan semakan permohonan Anwar meminta mahkamah mengisytiharkan pemecatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan oleh Dr Mahathir adalah menyalahi undang-undang dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Sebelum ini, Anwar tidak berjaya di peringkat Mahkamah Tinggi dan juga rayuannya di Mahkamah Rayuan serta Mahkamah Persekutuan.