KUALA LUMPUR - Perbicaraan yang sepatutnya disambung jam 2.30 petang ini tertangguh hingga ke 3.40 petang kerana kelewatan tertuduh dan pihak peguam bela.
Kira-kira jam 3.22 petang baru kelihatan Anwar Ibrahim, Wan Azizah, Karpal Singh dan Sankara Nair memasuki dewan mahkamah. Karpal memberitahu mahkamah bahawa mereka terlambat kerana membuat rayuan membantah keputusan hakim Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan untuk mendapatkan keterangan beramaran, saksi utama, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Dalam permohonan ke Mahkamah Rayuan itu, Anwar memohon agar prosiding kes di Mahkamah Tinggi digantung sementara menunggu pelupusan rayuannya itu.
Dalam prosiding petang tadi, mahkamah telah diperkenalkan dengan barisan saksi yang telah disebut oleh Saiful dalam keterangan pagi tadi iaitu Datuk Mumtaz Begum Abd. Jaafar dan Khairil Anaz Yusof. Ezam Mohd Nor dikatakan akan tampil ke mahkamah esok.