KUALA LUMPUR - Saksi utama kes liwat, Mohd Saiful Bukhari Azlan membuat laporan polis apabila menerima ancaman bunuh melalui facebook pada 12.47 tengahari hari ini. Ketika itu Saiful baru selesai memberi keterangan di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur untuk sesi pagi.
Ancaman itu berbunyi "DAH BERSEDIAKAH ANDA - DE..WA NAK TANYA LU, LU PASTI KE LU BOLEH HIDUP ESOK, JANGAN AIBKAN ORANG,MONYET PUN JANGAN" dihantar oleh seorang yang bernama Badrul Hisham.
Di dalam profil Badrul Hisham tiada gambar disertakan, hanya gambar kenderaan dengan nombor pendaftaran BGB 49 serta gambar keluarga.
Menurut Saiful, beliau membuat laporan di Balai Polis Sentul hari ini kerana bimbang keselamatan dirinya dan keluarganya.
Saiful yang mendedahkan perkara ini melalui blognya, www. mohdsaifulbukhari.blogspot.com tidak menolak kemungkinan, ancaman itu dibuat ekoran ketidakpuasan hati pihak-pihak tertentu dengan keterangan-keterangan yang membabitkan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim di mahkamah.
"Ini merupakan ancaman kedua, selepas ancaman pertama pada Februari lalu". katanya.