Saturday, October 30, 2010

Zaid Ibrahim Timbalan Presiden, mesej besar ahli PKR kepada Anwar ?

Ramalan yang mengatakan Azmin Ali, anak emas Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal menang mudah Timbalan Presiden PKR ternyata meleset, apabila pengiraan undi pada hari pertama dan kedua pemilihan PKR memperlihatkan Zaid Ibrahim mendahului dua pesaing lain, iaitu Azmin Ali dan Mustafa Kamil Ayub.

Meskipun sebelum ini, Azmin disokong penuh oleh Penasihat Umum, Anwar Ibrahim dan Zaid sering dikambinghitamkan dan dilabel pengkhianat kepada perjuangan 'reformasi Anwar', namun bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu terus menerus disokong oleh ahli-ahli PKR.

Menurut Malaysiakini, berdasarkan keputusan tiga cabang - Indera Mahkota, Teluk Kemang, Arau - yang diperoleh setakat jam 7.00 petang ini, Zaid berjaya menambah 129 undi menjadikan keseluruhan undi yang diterimanya sejak semalam adalah sebanyak 706.

Manakala pesaingnya, Azmin ali mendapat tambahan 105 (keseluruhan 477) dan Mustaffa Kamil Ayub, keseluruhannya 67 undi.

"Nampaknya apa yang dikehendaki oleh ahli-ahli PKR, tidak sama dengan apa yang dikehendaki oleh penasihat PKR", kata sumber dalaman PKR.

"Jika trend ini berterusan sehingga ke hari akhir pengundian dan Zaid dinobatkan sebagai Timbalan Presiden yang baru, Anwar perlu menilai semula strateginya ke atas PKR selama ini. Mesej amat besar kepada Anwar, bukannya kepada Azmin", kata sumber itu lagi.

Sebelum ini AIDCNews pernah mendedahkan blog pro PAS yang sebelum ini dilihat pro Anwar Ibrahim mengubah sokongannya kepada Zaid Ibrahim. Blog yang dimaksudkan itu adalah Blog Kelab Greenboc (GB), salah satu daripada rangkaian web TKO (Tranung Kite Online), yang mengkritik Anwar Ibrahim dalam postingnya bertajuk " Azmin dan Saifuddin, Mengata Dulang Paku Serpih". Klik di sini

Blog itu menemplak Azmin dan Saifuddin Nasution yang mengkritik Zaid yang didakwa membawa bahasa UMNO ketika menyerang Anwar Ibrahim.

Ketika menemplak Azmin itu, blog itu melakukan serangan keras ke atas Anwar Ibrahim.

"dan mastermind pemilihan adalah Penasihat PKR (itu) sendiri yang dulunya sengsara di penjara kemudian, Allah melepaskan, kemudian melakukan hal yang tak senonoh lagi..", tulis blog itu.

Menurut blog GB, salah satu budaya tidak senonoh yang dilakukan Anwar 'berjoget tarian India bersama Dato Nalla' semasa pilihanraya kecil Ijok yang menimbulkan fitnah besar terhadap Islam dan hubungan kerjasama antara PAS dan PKR.

"Ada banyak lagi yang sebenarnya boleh GB dedahkan di sini, namun ini bukan ruang yang sesuai untuk membalas segala serangan Azmin, Sivarasa, Saifuddin dan sekalian komrad Anwar. GB serahkan kepada Allah sendiri untuk mendedahkannya yang GB tahu apabila Dia mendedahkannya sendiri, tentu lebih parah lagi nanti", tulisnya lagi.

Menurut tinjauan rambang AIDCNews terhadap blog-blog pro PAS yang berpengaruh di internet, trend yang ditulis oleh Blog Kelab Greenboc ini hampir menyeluruh tidak kira blog itu dilabel pro Erdogan atau pro ulama selama ini.

Trend terbaru, blog pro Erdogan dan Ulama, kedua-duanya pro Zaid Ibrahim berbanding dengan Azmin Ali yang dilihat sebagai proksi kepada Anwar Ibrahim.