Wednesday, October 27, 2010

Taktik Karpal pancing dokumen lengkap hospital gagal

Kehadiran Peguam Utama Karpal Singh petang tadi untuk mendapatkan dokumen lengkap laporan tiga doktor yang memeriksa saksi utama Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 28 Jun 2008 menemui kegagalan apabila mahkamah memutuskan dokumen-dokumen tersebut tidak perlu dibekalkan kepada pihak pembela.

Pada 25 Oktober lalu, semasa Karpal menyoal balas Dr. Razali Ibrahim, pakar bedah am Hospital Kuala Lumpur (HKL), Karpal bertanya sebelum ketiga-tiga doktor membuat laporan rumusan, ada atau tidak laporan yang lebih terperinci yang telah dibuat sebelum ini.

Dr Razali menjawab ya. Menurutnya laporan rumusan hasil gabungan daripada ketiga-tiga doktor dibuat pada 13 Julai 2008, manakala laporan yang lebih terperinci yang dibuat secara berasingan adalah pada 28 Jun 2008.

Justeru itu, Karpal memohon laporan doktor bertarikh 28 Jun kepada Dr Razali dikemukakan kepada mahkamah. Pakar bedah am HKL itu berkata beliau tidak membawa bersama dengannya kerana laporan rumusan yang dibuat pada 13 Julai 2008 telah pun diserahkan ke mahkamah.

Dalam prosiding petang tadi, sekali lagi Karpal membangkitkan persoalan laporan terperinci 28 Jun kepada Dr Razali.

Menyedari taktik Karpal untuk memancing dokumen itu, Peguam Cara Negara II, Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden membantah permohonan Karpal.

Hakim Zabidin meminta Karpal terus menyoalsiasat Dr Razali berhubung perkara lain yang tidak berkaitan dengan nota perbuatan itu.

Bagaimanapun, Karpal berkata, beliau tidak boleh meneruskan soal-siasat itu tanpa nota-nota berkenaan.

Kedua belah pihak berhujah mengenai perkara itu.

Selepas mendengar hujah Karpal dan Yusof, Hakim Zabidin akhirnya membuat keputusan beliau hanya membenarkan pemberian laporan perubatan yang bertarikh 10 Julai 2008.