Friday, October 22, 2010

Blogger pro PAS kritik Anwar Ibrahim

Blog Kelab Greenboc (GB), salah satu daripada rangkaian web TKO (Tranung Kite Online), semalam mengkritik Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam postingnya bertajuk " Azmin dan Saifuddin, Mengata Dulang Paku Serpih" ekoran daripada serangan kedua tokoh PKR itu mengkritik Datuk Zaid Ibrahim yang didakwanya membawa bahasa UMNO apabila calon Timbalan Presiden itu menasihati PKR jangan semata-mata berjuang isu Anwar Ibrahim.

Zaid dalam blognya www.zaiduntukrakyat.com baru-baru ini menulis PKR jangan semata-mata memperjuangkan isu Anwar Ibrahim, sehingga tidak dapat membezakan antara perjuangan peribadi dengan kepentingan rakyat.

Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan itu juga percaya Anwar sudah membariskan pasukan peguam yang terbaik untuk membelanya, jadi tidak perlu lagi, pihak-pihak lain yang beriya-iya menjadi pendokong utama.

Nasihat Zaid itu telah dikritik hebat oleh dua pemimpin kanan PKR, Azmin Ali, Naib Presiden dan Saifuddin Nasution, Setiausaha Agung.

“Saya nak bertanya Zaid, mengapa beliau bercakap menggunakan bahasa Umno?” kata Azmin.

“Ini adalah kedudukan yang diambil Umno sejak hari pertama (Anwar dipecat pada) 1998, mengatakan bahawa Keadilan adalah parti yang hanya berpusatkan (kepentingan) Anwar,” katanya lagi yang mendapat pencalonan tertinggi bagi jawatan Timbalan Presiden PKR.

Pendapat Azmin disokong oleh Saifuddin Nasution.

Ahli Parlimen Machang itu berkata partinya berdiri teguh bersama Anwar Ibrahim kerana pendiriannya tegas memperjuangkan keadilan sebagai simbolik terhadap matlamat yang lebih besar.

Mengulas kenyataan Azmin itu, blog kelab GB menulis kritikan Azmin seumpama mengata dulang paku serpih.Blog itu mendakwa budaya kempen dan taktik menyerang musuh politik secara habis-habisan yang dilakukan oleh Azmin saling tidak tumpah meniru budaya UMNO.Klik di sini

"dan mastermind pemilihan adalah Penasihat PKR (itu) sendiri yang dulunya sengsara di penjara kemudian, Allah melepaskan, kemudian melakukan hal yang tak senonoh lagi..", tulis blog itu.Klik di sini

Menurut blog GB, salah satu budaya tidak senonoh yang dilakukan Anwar 'berjoget tarian India bersama Dato Nalla' semasa pilihanraya kecil Ijok yang menimbulkan fitnah besar terhadap Islam dan hubungan kerjasama antara PAS dan PKR.

"Ada banyak lagi yang sebenarnya boleh GB dedahkan di sini, namun ini bukan ruang yang sesuai untuk membalas segala serangan Azmin, Sivarasa, Saifuddin dan sekalian komrad Anwar. GB serahkan kepada Allah sendiri untuk mendedahkannya yang GB tahu apabila Dia mendedahkannya sendiri, tentu lebih parah lagi nanti", tulisnya lagi.

Blog itu juga turut meletakkan foto tiga wajah, Azmin, Anwar dan Saifuddin yang disave sebagai '3beruk'. Foto itu juga membawa maksud tersendiri apabila menggambarkan Anwar Ibrahim berada di belakang Azmin Ali, dengan tangan Anwar yang sedang menarik atau menghulur fail yang dipegang oleh Azmin.

Manakala foto Saifuddin diletakkan berasingan daripada foto Azmin dan Anwar.

Sebagai menutup kritikan, blog itu memetik hadis dari Rasulullah SAW bersabda :

“Apabila maksiat sudah merajalela di kalangan umatku, Allah akan menurunkan siksa dari sisi-Nya kepada mereka secara merata…” -HR. Ahmad, dll.