Wednesday, October 27, 2010

Semalam Karpal disyaki denggi, hari ini cirit birit pula

Jika semalam, anak Karpal Singh, Ram Karpal memberitahu mahkamah ayahnya disyaki demam denggi, hari ini Sankara Nair memberitahu mahkamah Karpal cirit birit untuk mendapatkan penangguhan prosiding ke jam 2.00 petang ini.

Dengan alasan 'demam denggi' semalam, hakim Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah membenarkan penangguhan hingga ke hari ini dan dan sekiranya Karpal tidak dapat datang hari ini, hakim memerintahkan pasukan pembelaan supaya melantik peguam lain menggantikannya untuk sesi soal balas.

Pagi ini, sebaik sahaja prosiding mahu dimulakan, Sankara Nair memohon penanguhan hingga ke petang ini, kerana Karpal mahu hadir sendiri dalam sesi soal balas, meskipun masih lemah dan cirit birit.

Sankara juga turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa Karpal tidak mengalami demam denggi setelah mendapat keputusan ujian daripada pihak hospital. Bermakna Karpal hanya demam biasa dan boleh meneruskan tugasnya sebagai Ketua Peguam Bela Anwar.

Katanya, meskipun Karpal masih lemah dan dilanda cirit-birit pula, beliau akan datang ke mahkamah pada jam dua petang ini.

Sankara juga memberi jaminan jika Karpal tidak hadir petang ini, peguam lain akan menggantikannya untuk soal balas ke atas saksi-saksi tersebut.

Peguam Cara II Negara, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden berkata beliau tidak ada bantahan berhubung penangguhan itu tetapi berharap ia diteruskan pada waktu yang dijanjikan itu.

Hakim Zabidin kemudian menangguhkan perbicaraan sehingga jam 2 petang ini.