Bekas Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Omar Khalid dalam satu kenyataan menyatakan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim seharusnya disebat 80 kali sekiranya mengikut hukum Islam kerana enggan bersumpah muhabalah ekoran tuduhan ke atasnya yang didakwa melakukan kesalahan liwat ke atas bekas pembantunya Saiful Bukhari.
Omar Khalid yang juga merupakan bekas “anak emas” hasil didikan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat yang pernah diberi ruang menyampaikan Kuliah Jumaat di bangunan PAS Kota Bharu juga mengatakan dalam kes liwat antara Anwar Ibrahim dan Saiful Bukhari jelas menunjukkan sumpah Saiful adalah tepat sesuai dengan tuntutan ayat Al –Quran.
"Apabila saja tidak dapat bukti, masing-masing boleh bersumpah dengan nama Allah, wallahi, wabillahi, wattallahi, saya tidak melakukan, selepas bersumpah, kena bebaskan dia dan seorang lagi mesti bersumpah juga dan bebas. Kalau yang seorang lagi tidak mahu bersumpah, maka kita hendaklah rotan 80 kali", kata Omar Khalid
"Bererti, Saiful sudah bersumpah, sudah cukup, kita kena bebaskan dia. Dari hukum Islam, maka Anwar wajib dihukum, kerana dia tidak mahu bersumpah", katanya lagi
Beliau juga mengkritik tindakan Nik Abdul Aziz yang mengambil tindakan menyokong Anwar tanpa bertanyakan kepada Saiful Bukhari, dan tidak meminta Anwar bersumpah bermubahalah.
Omar Khalid yang pernah terlibat dalam perancangan memberikan label “Tok Guru” kepada Nik Abdul Aziz juga menggangap tindakan Menteri Besar Kelantan itu umpama membela pengkhianat apabila sanggup membela Anwar Ibrahim di dalam kes liwat.
"Kenapa Anwar tidak mahu bersumpah. Maknanya Nik Aziz melakukan dua kesilapan, pertama Anwar Ibrahim yang sudah bersalah dan kedua Nik Aziz turut bersalah kerana bersekongkol membela Anwar. Anwar tidak bersumpah kenapa kamu bela.Maknanya Nik Aziz betul-betul menjadi pembela kepada pengkhianat", katanya.
"Anwar telah confirm sudah bersalah dulu, tiga orang hakim menyebut kamu (Anwar) bersalah, cuma ada ruang-ruang untuk kamu dibebaskan, maka kamu dimaafkan, tetapi kamu masih bersalah", katanya lagi.
Menurutnya lagi adalah jelas Anwar merupakan seorang manusia yang hipokrit dan pandai bermuka-muka, sedangkan keputusan kes liwat tahun 1998 jelas menunjukkan Anwar memang bersalah.
"Kenapa kamu (Nik Aziz) bela orang yang bersalah. Sekiranya kamu mahukan kebenaran kenapa tidak bertanya sendiri kepada Saiful ataupun kamu menyuruh Anwar turut bersumpah", katanya lagi.
Kenyataan Omar Khalid tersebut disiarkan dalam youtube channel anwaribrahimdotcom.