Friday, August 6, 2010

Mahkamah tolak rayuan Anwar dapatkan nota perubatan

Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini menolak rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada mendapatkan nota-nota perubatan dari tiga doktor Hospital Kuala Lumpur yang merawat pengadu kes liwatnya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Hakim Zaleha Zahari yang mengetuai panel tiga hakim bersama Hakim Abdul Malik Ishak dan Hakim Clement Allan Skinner yang bersidang hari ini.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 18 Julai lalu menolak permohonan Anwar Ibrahim bagi mendapatkan semua laporan perubatan yang disediakan oleh tiga doktor yang terlibat.

Hakim Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah dalam keputusannya berkata tidak ada peruntukan atau asas undang-undang yang mengatakan dokumen itu perlu dibekalkan.

Mohamad Zabidin terlebih dahulu mendengar hujahan peguam Karpal Singh selaku peguam utama Ketua Pembangkang tersebut dan juga hujahan Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden yang mewakili barisan pendakwaan.

Karpal menghujahkan pihaknya memerlukan dokumen-dokumen itu untuk kegunaan profesor perubatan forensik yang didatangkan khas dari Australia, Dr David Lawrence Wells bagi membantu barisan pembelaan dalam menyoal balas saksi perubatan.

"Semua dokumen itu adalah relevan untuk membolehkan Wells menasihatkan barisan pembelaan bagi menyoal balas Dr Mohd Razali Ibrahim (saksi pendakwaan kedua).

"Wells dalam afidavitnya turut mengesahkan ketiadaan dokumen tersebut menjejaskan kebolehannya dalam membantu pembelaan," hujah Karpal.

Bagaimanapun, Mohd Yusof membidas hujahan itu dengan berkata, dokumen-dokumen tersebut tidak diperlukan oleh Wells kerana saksi pendakwaan boleh disoal balas semasa perbicaraan.

"Berdasarkan kelayakan yang dinyatakan Wells pada afidavitnya, beliau semestinya pakar dalam bidangnya. Sudah pasti beliau mengetahui apakah kelayakan atau kemahiran yang diperlukan untuk memeriksa seseorang bagi menentukan jika benar berlaku kejadian liwat.

"Beliau juga ada menulis buku dan artikel berkenaan subjek tersebut dan sudah tentu beliau mengetahui prosedur yang digunakan dalam pemeriksaan klinikal dan forensik," hujah Mohd Yusof.

Permohonan itu dikemukakan oleh peguam Anwar pada 4 Jun lalu.

Beliau meminta semua nota klinikal dan laporan perubatan, bahan, spesimen, emel, nota bertulis tangan, surat-menyurat, catatan dan pemerhatian oleh ketiga-tiga doktor yang telah memeriksa pengadu kes itu, Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 28 Jun 2008, dua hari selepas mendakwa dia diliwat oleh Anwar.

Selain itu, peguam Anwar juga mahu pihak pendakwa menyerahkan peralatan yang lazim digunakan semasa ujian untuk serangan seksual diberikan kepada mereka.

Pihak pembela juga ingin mendapatkan maklumat berhubung kelayakan dan pengalaman ketiga-tiga doktor berkenaan yang merawat Saiful - Dr Khairul Nizam Hassan, Dr Mohd Razali Ibrahim dan Dr Siew Sheue Feng.

Dr Mohd Razali adalah pakar bedah di HKL yang telah memeriksa bekas pembantu Anwar dengan pakar rawatan kecemasan Dr Khairul Nizam Hassan dan pakar patologi forensik Dr Siew Sheue Feng.