Selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menggugurkan dakwaan liwat terhadapnya, Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah memutuskan agar prosiding diteruskan, namun begitu Karpal Singh, Ketua Peguambela Anwar memohon penangguhan lagi agar kes ini dibuat rayuan selanjutnya.
Dalam keputusan yang dibaca oleh Hakim Datuk Mohamad Zabidin pagi tadi beliau menolak permohonan Anwar untuk menggugurkan kes kerana hujah pihak Anwar tidak kukuh.
"Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu tuduhan terhadapnya digugurkan. Dalam permohonannya beliau mendakwa bahawa Farah Azlina Latif ada akses kepada kertas siasatan, dan ada hubungan dengan saksi utama Mohd Saiful Bukhari Azlan.
"Dalam afidavit pendakwa, pasukan mereka tidak menafikan ataupun bersetuju dengan bahawa adanya hubungan, tetapi menekankan bahawa Farah Azlina dan Saiful tiada akses kepada dokumen-dokumen ini.
"Mahkamah mendapati tiada salah guna dalam proses pembuktian di sini. Oleh itu, permohonan ini ditolak," kata Zabidin.
Justeru itu, hakim memutuskan agar prosiding diteruskan seperti biasa bermula hari ini.
Karpal yang tidak bersetuju dengan keputusan hakim itu, memohon kepada mahkamah agar prosiding ditangguhkan sementara waktu sehingga selesai proses rayuan yang bakal dibuat oleh Anwar.
Peguam Cara Negara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden pula membalas hujah Karpal, jika permohonan itu dibenarkan prosiding ini akan tertangguh lagi dalam jangka masa yang agak lama dan akan menggangu perbicaraan sebenar. Prosiding perlu diteruskan dan dalam masa sama, pihak Anwar boleh mengemukakan rayuan tanpa proses penangguhan.
Hakim memutuskan untuk mendengar rayuan Karpal petang ini, jam 2.15 petang sebelum membuat keputusan selanjutnya.
Pada sesi petang, setelah Karpal diberi peluang mengemukakan hujah, akhirnya Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membuat keputusan membenarkan permohonan Anwar untuk menangguhkan perbicaraan kes liwatnya sementara menunggu rayuan terhadap Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah pagi tadi. Perbicaraan ini akan disambung semula pada 20 September ini
Pada 19 Julai lalu prosiding sepatutnya diteruskan dengan pemeriksaan balas terhadap saksi kedua pihak pendakwa, Dr. Mohd. Razali Ibrahim , Pakar Bedah Am Hospital Kuala Lumpur (HKL), yang memeriksa Mohd. Saiful Bukhari dua hari selepas kejadian liwat didakwa berlaku.
Dalam keterangannya, Dr Mohd Razali memberitahu ujian sampel menunjukkan adanya air mani walaupun tiada kesan koyakan atau kecederaan pada bahagian dubur.
"Dengan kesemua laporan yang ada di depan saya, saya boleh mengatakan adanya bukti penembusan walaupun tanpa kecederaan klinikal," kata beliau lagi.
"Dengan kehadiran kesan air mani, ada bukti penembusan (di bahagian) dubur," katanya.
Beliau juga membacakan kandungan laporan yang mengatakan sampel calitan B5, B7, B8 dan B9 yang menyebut tentang kesan air mani di dubur.
"(Dengan ini) saya boleh merumuskan (sekarang) bahawa adanya bukti tembusan," kata Dr. Razali.
Peguam utama Anwar, Karpal Singh dijangka menyoal balas doktor tersebut selepas itu
Namun begitu, sesi soal balas tertangguh apabila Anwar melalui pasukan pembelaannya buat kali kedua memohon kepada mahkamah untuk mendapatkan beberapa dokumen termasuk sampel-sampel yang diambil daripada Mohd. Saiful Bukhari.
Permohonan tersebut bagaimanapun ditolak oleh Hakim Mohamad Zabidin pada 18 Jun lalu dan keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan pada 25 Jun lepas.
Sekali lagi, sesi soal balas tertangguh kepada 2 Ogos, apabila peguam Anwar, Datuk Param Cumaraswamy memohon penangguhan apabila Ketua Peguambela Anwar, Karpal Singh, memperolehi cuti sakit selama dua minggu.
Pada 2 Ogos, sekali lagi sesi soal balas tertangguh lagi, apabila Karpal Singh membangkitkan isu hubungan romantis di antara Saiful dengan Farah Azlina Latif. Anwar pula mengemukakan permohonan untuk menggugurkan kes dengan alasan tersebut.