Ucapan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Woodrow Wilson International Center, Washington DC pada 24 Jun lalu telah menimbulkan polemik panjang khususnya di kalangan ahli-ahli PAS di Malaysia.
Seorang blogger pro PAS, Zainol Abideen atau lebih dikenali sebagai Mahaguru58 telah mengambil inisiatif menjawab dakwaan-dakwaan Anwar itu khususnya berkaitan dengan Konsep Negara Islam dan hukuman rotan ke atas model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor yang didapati bersalah meminum arak.
Anwar semasa berucap di Woodrow Wilson Centre, beliau ditanya adakah beliau menyokong Negara Sekular atau Negara Islam. Anwar menjawab, beliau tidak menyokong Negara Islam sebab konotasi Negara Islam membawa makna yang negatif.
Menurut Anwar, beliau menolak konsep Negara Islam kerana konsep tersebut mengabaikan kebebasan menganut agama dan kebebasan beragama serta mendaulatkan undang-undang sekular.
"Saya mengelakkan daripada menggunakan istilah Negara Sekular, tetapi saya suka anda kembali kepada prinsip asas. Apa yang saya mahu ? Saya mahu kedaulatan undang-undang, kebebasan menganut agama, kebebasan beragama, media bebas dan ekonomi pasaran bebas", kata Anwar.
Walaupun Anwar cuba mengelak menggunakan istilah Negara Sekular tetapi penjelasan ciri-ciri negara yang dikehendakinya itu sudah menjurus kepada Konsep Negara Sekular.
Berkaitan dengan hukuman rotan ke atas Kartika Sari Dewi Shukarnor yang didapati bersalah meminum arak, Anwar secara terus terang membantah pelaksanaan hukuman tersebut.
"Saya tahu mereka yang kaya dan terkenal, dimaaf minum arak di hotel mewah. Tetapi dalam kes gadis miskin tersebut, mereka merotannya. Adakah ini yang mahu dipertahankan oleh agama? Di manakah ulama? Di manakah cendekiawan Islam?. Bila berlaku ke atas gadis miskin, anda rotan, bila berlaku ke atas orang kaya, anda maafkan, cium tangan mereka" kata Anwar.
Dua perkara asas ini (Negara Islam dan hukuman rotan) menyebabkan blogger mahaguru58 berusaha mendapatkan penjelasan daripada Dr Harun Din, Timbalan Mursyidul Am PAS.
Kandungan wawancara Mahaguru58 dengan Dr Harun Din kemudiannya diterbitkan dalam bentuk video dan diupload di youtube.
Dalam kandungan video tersebut, Mahaguru58 menulis seperti berikut;
Baru-baru ini Penasihat PKR, Anwar Ibrahim pergi menjawab soalan para pelobi pengaruh dan kuasa politik Yahudi Amerika tentang keterlibatan Anwar di dalam demonstrasi menentang rejim zionis Israel kerana membunuh aktivis Turki di dalam misi bantuan ke Gaza.
Anwar dilaporkan sedang dipantau anggota MOSSAD Tel Aviv dan juga agensi perisikan Amerika Syarikat iaitu CIA kerana dikhuatiri mereka bahawa Anwar telah berpaling tadah dari menjadi 'kawan' Washington dan Tel Aviv dengan turut bersama ribuan pembantah di dalam protes berhadapan Keduataan US di KL.
Anwar di dalam menjelaskan kedudukan dirinya turut membuat kenyataan bahawa ia menentang penubuhan Negara Islam. Ia juga mempertikaikan hukuman sebat syariah ke atas peminum arak Kartika Dewi Sukarnor yang dijatuhi oleh Mahkamah Syariah Pahang dan menyatakan bantahannya terhadap alim ulama Malaysia yang ia tuduh membisu terhadap salah laku golongan berada dan berkuasa negara.
Dr Harun Din ketika ditanya berkenaan penolakan Anwar berkenaan Konsep Negara Islam menjawab kata-kata Anwar itu sekadar mainan politik yang bercakap berbeza di tempat dan khalayak yang berbeza.
Tetapi menurut Dr Harun Din, mainan politik pun ada sempadannya, tidak boleh sewenang-wenang berpolitik sehingga boleh menjejaskan pegangan akidahnya.Menurutnya, dalam hukum Islam, seseorang itu tidak boleh bertolak ansur jikalau mengaitkan dengan hukum agama. Perkara ini seperti mempermainkan hukum agama. Hukum agama tidak boleh dipolitikkan.
Beliau mengatakan Konsep "Negara Islam" itu pada dasarnya bukan pada nama tetapi pada isinya. Menurutnya lagi umat Islam wajib melaksanakan hukum hudud, siapa yang menetang hukum tersebut bermakna orang itu bukan muslim sejati.
Berkenaan dengan hukuman rotan yang dikenakan kepada gadis peminum arak itu, Dr Harun Din berkata hukuman tersebut bukannya kolot, malah dalam dunia moden hari ini, hukuman sebatan masih dilaksanakan.
"Malaysia sebagai contohnya, walaupun tidak disebut undang-undang Islam, tetapi masih menjatuhkan hukuman sebat kepada perogol, sebat kepada perompak, di negara China pun menggunakan hukuman sebat, walaupun sebatan bukan cara Islam" kata Harun.
Menurutnya lagi hukuman sebat yang dipraktikkan dalam Islam tidak menyakitkan seperti yang diwar-warkan oleh sesetengah pihak.
"Hukuman sebat dalam Islam bukan untuk mencederakan, tetapi di sebalik hukuman itu individu tersebut akan mendapat pengajaran", tegasnya.